Namun akhirnya ternyata saya keletihan sendirian. Banyak ajakan saya dianggap sepi kerana mereka berhujah bahawa untuk sebuah pementasan teater, latihannya tidak perlu hari demi hari, minggu demi minggu selama berbulan-bulan. Bagi mereka itu semua membuang waktu dan tenaga, kerana, bagi mereka, cukup untuk hanya berlatih 8 jam dharab 4 hari Ahad! Dan ketika saya mendesak serta menempelak dengan mengatakan cara mereka bekerja adalah salah, saya sebaliknya pula dianggap sombong, angkuh dan berlagak!
Saya sebenarnya sudah hampir 20 tahun melupakan mereka dan menganggap sepi segala ocehan mereka. Apa lagi bila mereka, kerana kepandaian berkata-kata atau apa sahaja yang sejenis dengannya, kelihatannya sangat mendapat dokongan orang-orang di jabatan tertentu, saya jadi semakin memilih untuk menjauhkan diri serta bersikap tidak peduli dan meneruskan kerja-kerja seni saya secara bersendirian menurut apa yang saya yakini.
Tetapi ingatan dan kenangan saya kembali terbuka lagi bila kelmaren, di hari kedua Idulfitri, seusai solat Jumaat di masjid di mana saya bermukim dan tinggal, saya bertemu dengan seorang rakan yang setahu saya sebelum ini menjadi presiden sebuah persatuan seni di sini. Teman ini, ketika saya tanyakan perkembangan terkininya memberitahu sudah tidak lagi menjadi presiden persatuan tersebut.
Namun bukan itu yang membuat saya membuka kembali ingatan mengenainya. Sebaliknya, bila dia mengaku dan memberitahu saya: Kepada mereka aku katakan, 15 tahun dahulu seorang kawan saya pernah beritahu tiada gunanya bergerak dan bergiat di sini dan ketika mereka tanyakan siapakah kawanku itu, aku katakan kawanku yang mengatakan itu adalah Marsli N.O dan mereka kebanyakannya seperti terpana.
Saya tidak memberikan komen lanjut terhadap apa yang dikhabarkan oleh teman itu. Hanya jauh di dalam fikiran, saya terkenangkan betapa orang-orang yang pernah menempelak saya sebagai berlagak dan bodoh sombong ini, semata-mata kerana saya mengajak mereka mengerjakan seni secara lebih bersungguh dan berdisiplin inilah kini yang saya dengar menjadi fasilitator seni dan sastera tertentu.
Tentulah mereka terlalu hebat di mata para ketua projek pengahayatan di peringkat nasional itu. Walau mereka, berbanding saya yang sudah menerbitkan beberapa buku dan terus menerus berkarya, tidak punya sebarang buku atau karya yang boleh diandalkan, namun semata-mata kerana kepandaian kebodekan dan kejilatan mereka, maka diangkat dan dinobatkan mereka sebagai fasiliotator anu dan ini atau dipanggil bercakap dan memberikan fatwa mengenai seni, sastera dan teater, walau pun yang mereka cakap dan fatwakan tidak lain hanyalah angin dan buih.
Jauh di sudut hati saya berkata sendiri: Sesudah itu akan jadi apa mereka dan bagaimana pula nasib anak-anak yang mereka berikan cermin tipudaya itu?
Saya sudah lama tahu jawabannya dan sudah setahun dua ini mulai bergerak untuk membongkar segala penipuan dan jenayah mereka!
Ogos 11, 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan