April 27, 2015
Isnin, April 27, 2015
MALAM HUJAN DAN OKSIMORON (2)
SESUDAH kurang lebih 26 tahun, selepas sajak "Negeri
Ini, Anak" pada tahun 1989, saya tak menyertai sebarang sayembara
penulisan secara rasmi. Tetapi tahun 2014, entah didorong semangat apa, saya menggagahkan diri agar
dapat sama menyertai Sayembara Penulisan 2 anjuran ITBM-Pena-BH. Kurang lebih
sepanjang akhir Mei 2014 hingga November 2014 saya mengajar dan cuba
mendisiplinkan diri untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada proses penciptaan
sajak-sajak yang khusus untuk menyertai sayembara ini.
Saya pun tidak tahu semangat apa yang merasuk saya di sepenjang proses
penciptaan ini. Saya fikir dan rasa, apa yang banyak membantu saya di sepanjang
proses penciptaan sajak-sajak ini adalah segala pengalaman yang pernah dan
telah saya tempuh serta ditambah pula dengan segala apa yang telah pernah saya baca
dan hadzamkan sebelum ini, kembali menjelma dari pemikiran bawah sedar saya dan
minta dijelmakan sebagai sajak demi sajak.
Selain itu, latihan dan pengalaman teater saya, saya rasa dan fikir, juga
turut membantu. Sepanjang proses penciptaan ini, saya benar-benar memanfaatkan
daya tumpuan serta konsentrasi saya terhadapnya. Sehingga dalam proses ini,
saya berasa saya benar-benar berada di situasi, lokasi, waktu dan malah berasa
sangat akrab dan kenal dengan semua watak-watak di dalam sajak-sajak saya.
Saya juga berfikir, jika sebelum ini, sejak awal mula menulis dan sehingga
kini, jika saya tidak memaksakan diri untuk menjadi sangat pemilih dengan bahan
bacaan dan hanya membaca buku-buku sajak yang saya pastikan benar-benar baik
dan bermutu sahaja, tentu sahaja pengalaman dan khazanah bacaan saya itu tidak
sangat membantu.
Kerana telah belajar dan menimba pengalaman kepuisian secara tidak langsung
daripada puisi-puisi hasil karya penyair hebat Malaysia seperti Muhammad Haji
Salleh, Baha Zain, T Alias Taib, dan jika dari Indonesia dengan puisi-puisi
hasil karya Sapardi Djoko Damono, Goenawan Mohamad, Sutardji Calzoum Bachri,
atau yang lebih muda dan kemudian inilah, saya berasa saya telah berhasil
sedikit dan sebanyak menumpahkan pula pengalaman puisi milik saya sendiri dan
dengan cara saya sendiri.
Saya sebenarnya berhasil menuliskan lebih banyak jumlah sajak daripada yang
berjumlah 52 yang saya muatkan di dalam kumpulan MALAM HUJAN & OKSIMORON itu.
Tetapi demi kepentingan peraduan dan juga dengan pertimbangan-pertimbangan
tertentu, banyak sajak-sajak itu saya minggirkan dan simpan.
Antara pertimbangan lain yang saya maksudkan itu ialah bila mana di
bahagian akhir proses penciptaan saya, kalau tidak silap begitu memasuki bulan September,
saya menyedari semakin memilih pendekatan berbahasa yang lebih keras dan agak prosaic.
Sajak-sajak saya sekitar waktu itu saya kesani lebih mengandung amarah, sindiran
dan lontaran rasa mual. Ketika menyedari ini jugalah, saya mula kembali
mengendurkan perasaan dan memperlahankan proses penulisan.
Khuatir andai proses penciptaan sajak-sajak saya semakin menjadi ngawur dan terlalu emosional,
sepanjang Oktober 2014 saya cuba untuk sejenak berehat dan melupakan proses
penciptaan ini. Baru memasuki November, saya kembali meneruskan proses
penciptaan ini dengan memperhaluskan kesemua sajak-sajak yang telah saya pilih
untuk dimuatkan di dalam kumpulan ini. Ketika proses inilah berlalu proses
membuang dan menggantiakn sajak-sajak, sehingga akhirnya saya memutuskan memuatkan
52 sajak saya yang dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Malam Hujan dan
Oksimoron di dalam kumpulan yang saya berikan judul “Malam Hujan & Oksimoron”.
April 27, 2015
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan