Khamis, April 09, 2015

PENOLAKAN

SAYA datang dan lahir dari keluarga yang sangat seadanya. Malah kalau hendak dibandingkan dengan rakan sebaya ketika masih di usia kanak, saya sedar dan insaf betapa sayalah yang paling kurang berpunya di antara mereka. Di samping itu juga, selain sebagai anak yang sangat seadanya, di kampung di mana merupakan tanah asal keluarga di sebelah ibu dan nenek, saya selalu dikatakan oleh mereka sebagai anak orang luar.

Saya menyata dan menceritakan ini, tanpa niat hendak berbelas diri, menyalahkan takdir atau memburukkan sesiapa, saya rasa saya mendapat gelaran ini adalah kerana saya ini berbapakan seorang lelaki keturunan Jawa yang bapanya datang ke mari bersama keluarga di bawah satu sistem kontrak. Gelaran atau panggilan ini semakin kerap dan tebal dilekatkan ke diri saya kerana semasa kanak saya sedar dan tahu saya adalah kanak yang suka melawan. Misalnya ketika bermain sesama, walau saya lebih kecil dan masih belum lama berada di kampung, saya tidak boleh atau mudah menerima begitu sahaja sebarang pilihan, pembahagian atau ketetapan yang saya rasakan kurang adil.  

Memang ada akibat lanjutan selepasnya. Kerananya, sama ada disisihkan oleh kawan-kawan atau saya sendiri yang memilihnya, saya tidak memiliki ramai kawan semasa kanak. Malah saya berasa lebih senang dan seronok merayau sendirian di dalam semak memerhatikan burung yang hinggap di dahan-dahan atau mengutip buah kemunting  atau semata-mata merayau tanpa sebarang tujuan.

Kerana itulah, kerana sedar dan insaf betapa saya dilahirkan di dalam keluarga yang kurang mampu, sejak kecil, saya mengajar diri untuk tidak terlalu mengharap dan berharap. Kesedaran serta keinsafan ini jugalah menjadikan saya manusia yang bersedia untuk menerima apa sahaja yang ada.

Dengan sikap dan kesedaran ini, ketika semakin saya meningkat usia dan menjadi dewasa, semakin menjadikan saya manusia yang tidak mudah putus asa apa bila berdepan dengan sesuatu hadangan dan pelbagai dugaan di dalam hidup, terutamanya dalam hubungan sosial yang melibatkan orang lain.

Memanglah tidak dinafikan sebagai manusia biasa, saya tetap mengalami dan dijengahi rasa sedih, tertekan atau kecewa. Namun semua perasaan, tekanan dan rasa kecewa ini tidaklah sampai mematahkan semangat saya untuk meneruskan hidup.  

Kerana menyedari saya datang dari keluarga yang sangat seadanya dan tidak mahu mengharapkan orang tua terus menerus menyarai diri saya, selepas hanya mampu menamatkan pelajaran menengah saya hanya di tingkatan satu, saya mula bekerja mencari nafkah untuk diri sendiri sejak mula memasuki usia remaja, atau tepatnya sekitar usia saya 16 tahun. Ketika kawan sebaya setiap pagi berseragam dan berbondong-bondong menaiki bas menuju ke sekolah di bandar, saya pula bersama para gerombolan pekerja ladang menaiki traktor membelah dingin pagi.

Memang saya punya hasrat untuk terus bersekolah dan kemudian meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tetapi sekali lagi, saya tidak ingin terlalu berharap dan mengajar diri untuk bersedia menerima kenyataan hidup saya pada waktu itu seperti apa adanya.  Begitu mula bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, saya sekaligus juga belajar hidup menguruskan diri sendiri, susah senang, sakit atau sihat.
Saya berasa itulah permulaannya saya mengenal erti dan memahami makna hidup bersendirian. Memasak dan mencuci pakaian sendiri sudah semestinya. Malah pernah beberapa kali, ketika tubuh diserang demam yang terok dan tak mampu berdiri, saya merangkak ke dapor untuk memasak apa yang ada demi mengisi perut yang kosong.

Hari ini, sesekali ketika sunyi dan bersendiri saya kembali merenung dan berfikir. Sudah demikian jauh saya hidup dan berjalan. Dengan apa yang saya ada, capai dan miliki, saya sentiasa ingin bersyukur. Malah  bila difikirkan kembali, dengan segala duga yang pernah saya temui ketika usia muda dahulu, dan hari ini saya masih mampu dan bertahan sebagai manusia, yang walau hanya seadanya, saya tetap ingin mengucapkan syukur serta berterima kasih kepada Tuhan yang tetap sudi memelihara diri saya.

Saya fikir, kerana sudah melatih diri sejak usia remaja untuk hidup bersendirian itu jugalah maka saya tidak pernah berasa terlalu tergugat,  sakit, pedih dan kecewa apabila berasa atau menyedari diri saya seperti sudah tidak begitu diperlukan, cuba ditolak atau disisihkan oleh kelompok, kawan-kawan atau golongan tertentu.

Mungkin muncul sekejap rasa terkilan. Namun rasa itu tidaklah sampai mematahkan semangat atau rasa percaya saya kepada diri saya sendiri.

Apa lagi bila saya kenangkan, betapa hadir dan wujudnya saya di sini bukanlah kerana mereka atau sesiapa yang bergelar atau bernama manusia.

Kerana, saya mempercayai, meyakini dan menyerahkan seluruh hidup dan mati saya, hanya kepada Allah Azzawajalla!

April 9, 2015

Tiada ulasan: