Rabu, Mei 20, 2015

PEMINAT

SESUDAH kurang lebih 36 tahun saya memilih dunia tulis menulis ini sebagai dunia pergulatan jiwa dan fikiran saya, baru hari ini, di dinding status FB saya, saya diperingatkan oleh seseorang mengenai kehadiran peminat dan peringatan ini disertakan juga dengan amaran lembut mengenai kemungkinan peminat akan akan lari meninggalkan saya.

Sebelum ini, walau saya pernah beberapa kali membaca pendapat yang dituliskan orang, yang antara lain mengatakan betapa agar sebuah buku seorang penulis itu laku keras, dia mestilah mempunyai peminat. Namun pendapat itu tidak pernah ingin saya jadikan perhatian serta fikiran.

Sebab dan puncanya mudah sahaja. Saya menulis kerana ingin menyatakan sesuatu kepada pembaca. Jadi jika menyukainya, sukailah karya saya dan bukan diri saya selaku penulisnya. Demikianlah jika tidak menyukainya. Tolaklah ia kerana karya itu memang tidak bagus dan bukan kerana yang menulis itu adalah diri saya.

Tanpa niat menghina atau memandang rendah, saya fikir yang memerlukan peminat hanyalah artis penyanyi atau pelakon filem. Supaya dengan ramainya peminat mereka, akan banyaklah karya nyanyian  atau filem lakonannya dibeli dan ditonton.  

Tetapi saya seorang penulis biasa, yang ingin agar hanya karyanya sahaja yang disukai serta dibeli oleh pembaca. Terus terang, tanpa niat dan maksud hendak berlagak, saya tidak ingin disukai dan diminati seperti mana penyanyi dan pelakon filem diminati. Jika ingin disukai, sukailah karya saya. Jingin ingin menolaknya, juga yang ditolak itu adalah karya dan bukan diri saya secara peribadi.

Saya tidak menghalang jika masih ada juga pembaca yang ingin meminati saya. Tetapi rasa minat mereka itu biarlah seadanya dan dimanifestasikan dengan membeli karya hasil tulis saya.

Saya tidak mahu diburu dan dikejar-kejar sebagaimana penyanyi dan pelakon filem.

Saya hanya ingin menjadi saya. Hanya itu.

Mei 20, 2015


1 ulasan:

Unknown berkata...

salam encik boleh saya meminjam kata2 encik untuk diletak pada video saya?