Jumaat, Disember 16, 2016

BEKERJA DENGAN SENI

BANYAK teman yang pertama kali bertemu atau kurang begitu tahu menganai latar penglibatan saya di bidang sastera dan seni, kerana melihat saya lebih banyak bergerak di luar dan tidak di negeri di mana saya tinggal,  sering bertanyakan saya soalan begini: Kenapa kau seperti sengaja mengasingkan diri dan sombong tidak mahu terlibat dengan kerja-kerja seni di negerimu sendiri?

Saya selalunya hanya menjawab ringkas soalan mereka. Kata saya kurang lebih begini: Biarkanlah. Bila kita tahu kita tidak begitu disukai atau disenangi orang di tempat sendiri, jadi lebih baik aku bergerak dan pergi ke mana tempat yang orang boleh menerima kerja-kerja seniku.

Sebenarnya memang banyak yang ingin saya katakan kepada mereka yang bertanya begini. Namun bila saya berlama-lama befikir saya akhirnya berkata kepada diri sendiri: Perlu apakah saya ceritakan segala kisah pedih dan luka itu kepada orang lain? Untuk apa? Apa gunanya?

Saya tahu, kerja seni yang saya pilih ini merupakan pilihan saya peribadi sejak mula. Lantas kerana itu, saya sudah cukup bersedia menerima segala risiko serta akibat dari pilihan saya itu: terluka, disakiti, dicaci, dihina atau diremeh-remahkan.

Namun di samping semua yang demikian, saya yakin bahawa pilihan yang sudah saya jadikan fokus dan sebahagian daripada tujuan kehidupan saya ini tetap nanti pada akhirnya akan membuah hasil serta kejayaan dan ini ternyata ada benarnya.

Pilihan saya untuk lebih menyendiri dan bergerak sendirian sebenarnya bukanlah kerana dorongan rasa sombong di dalam diri atau kerana saya berasa lebih cerdik dan pandai berbanding diri orang lain.

Sebenarnya  tidak. Jauh dan lama sebelum itu, saya sudah berusaha untuk bergerak bersama orang-orang di negeri sendiri, memujuk, mengajak, untuk berkerja dengan seni, dengan cara yang saya fikir jujur dan tulus untuk semata-mata kerana seninya dan itu dan bukan untuk sebab-sebab lain yang tiada kena mengena dengan seni.

Dengan seni yang saya pilih, teater dan sastera, saya cuba untuk  teman-teman yang saya tahu dan kenal untuk bersama di dalam sebuah kelompok mengerjakannya: berlatih, berdiskusi, berinteraksi dengan dunia ilmu dan bacaan serta tontonan keluar, secara konstan minggu demi minggu dan bulan demi bulan.

Namun akhirnya ternyata saya keletihan sendirian. Banyak ajakan saya dianggap sepi kerana mereka berhujah bahawa untuk sebuah pementasan teater, latihannya tidak perlu hari demi hari, minggu demi minggu selama berbulan-bulan.

Bagi mereka itu semua membuang waktu dan tenaga, kerana, bagi mereka, sebuah pemnetasan teater cukup dengan hanya berlatih 8 jam dharab 4 hari Ahad!  Dan ketika saya mendesak serta menempelak dengan mengatakan cara mereka bekerja adalah salah, saya sebaliknya pula dianggap sombong, angkuh dan berlagak!

Saya sebenarnya sudah hampir 20 tahun melupakan mereka dan menganggap sepi segala ocehan mereka. Apa lagi bila mereka, kerana kepandaian berkata-kata atau apa sahaja yang sejenis dengannya, kelihatannya sangat mendapat dokongan orang-orang di jabatan tertentu, saya jadi semakin memilih untuk menjauhkan diri serta bersikap tidak peduli dan meneruskan kerja-kerja seni saya secara bersendirian menurut apa yang saya yakini.

Tetapi ingatan dan kenangan saya kembali terbuka lagi bila kelmaren, dihari kedua Idulfitri, seusai solat Jumaat  di masjid di mana saya bermukim dan tinggal, saya bertemu dengan seorang rakan yang setahu saya sebelum ini menjadi presiden sebuah persatuan seni di sini.

Teman ini, ketika saya tanyakan perkembangan terkininya memberitahu dirinya sudah tidak lagi menjadi presiden persatuan tersebut.

Namun bukan itu yang membuat saya membuka kembali ingatan mengenainya.

Sebaliknya, bila dia mengaku dan memberitahu saya: Kepada mereka aku katakan,15 tahun dahulu seorang kawan pernah beritahu tiada gunanya bergerak dan bergiat di sini dan ketika mereka tanyakan siapakah kawanku itu, aku katakan kawanku yang mengatakan itu adalah Marsli N.O dan mereka kebanyakannya seperti terpana.

Saya tidak memberikan komen lanjut terhadap apa yang dikhabarkan oleh teman itu. Hanya jauh di dalam fikiran, saya terkenangkan betapa orang-orang yang pernah menempelak saya sebagai berlagak dan bodoh sombong ini, semata-mata kerana saya mengajak mereka mengerjakan seni secara lebih bersungguh dan berdisiplin inilah kini yang saya dengar menjadi fasilitator seni dan sastera tertentu.

Tentulah mereka terlalu hebat di mata para ketua projek pengahayatan seni dan sastera di peringkat nasional itu. Walau mereka, berbanding saya yang sudah menerbitkan beberapa buku dan terus menerus berkarya, tidak punya sebarang buku atau karya yang boleh diandalkan, namun semata-mata kerana kepandaian kebodekan dan kejilatan mereka, maka diangkat dan dinobatkanlah  mereka sebagai fasiliotator anu dan ini atau dipanggil bercakap dan memberikan fatwa mengenai seni, sastera dan teater, walau pun yang mereka cakap dan fatwakan tidak lain hanyalah angin dan buih, atau dalam kata lebih kasarnya, penuh dengan tipu dan dusta.

Jauh di sudut hati saya berkata sendiri: Sesudah itu akan jadi apa mereka dan bagaimana pula nasib anak-anak yang mereka berikan cermin tipudaya itu?

Saya sudah lama tahu jawabannya dan sudah setahun dua ini mulai bergerak untuk membongkar segala penipuan dan jenayah mereka!

(C) MARSLI N.O  dilahirkan di Estet Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu dan membesar serta mendewasa di Kuantan, Pahang. Mulai menulis sekitar tahun 1970-an dan kini sudah menghasilkan 8 kumpulan cerpen, 6 kumpulan puisi, 3 novel, 2 proses kreatif dan satu kumpulan drama pentas. Secara peribadi, demi untuk mendapatkan gugahan serta gerakan untuk terus berkarya dan berkreatif, beliau sering berpergian secara bersendirian ke mana-mana dengan motorsikalnya. Mulai April 2013, beliau diktiraf sebagai Munsyi Dewan (Sastera) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan: