Jumaat, Disember 16, 2016
KETIKA SEMAKIN MENUA
JIKA tahun yang dihitung, maka 2016 ini
sudah 59 usiaku dan Oktober 2017 nanti, andai diizinkan Allah SWT untuk aku
lagi bernafas, maka 60 tahun sudah usiaku.
Segala ingatan dan kenangan serasa
masihkan kelmaren. Tetap segar dan bugar di dalam ingatan, dan untuk itu,
kepada Allah SWT sekali lagi aku berterima kasih, kerana mengizin dan
memberikan aku daya ingatan yang masih bugar dan segar, serta kesihatan yang
juga masih sihat dan membolehkan aku bergerak ke mana-mana secara mandiri.
Sehingga di usia ini, sebagai manusia
biasa dan sebagai sasterawan, walau dalam sesekali mengucapkan sebal dan marah
terhadap pelbagai situasi mual yang merongrong sekitar diri dan dunia, aku
selalu ingin berasa syukur dan berterima kasih kepada Allah SWT.
Meski mungkin tidak sehebat dan sebaik
mana sekalipun karya yang sudah kutulis dan diterbitkan itu, terutamanya jika hendak dibandingkan
dengan sejumlah besar karya para sasterawan lain yang hebat di negaraku ini, namun
setidaknya, aku sudah buktikan kesungguhan diri dan keberadaanku sendiri di
tanah sastera ini dengan sejumlah karya hasil tulisanku yang diterbitkan oleh
beberapa penerbitan.
Memang pun ketika sedang menulis atau
berkarya, tidak pernah sedikit pun datang atau terfikirkan niat di dalam hatiku
untuk untuk menunjukkan hebat diriku
melalui karya-karyaku. Bagiku, cukuplah jika aku mampu menulis dan terus menulis
seperti apa adanya menurut keyakinan diriku sendiri, tanpa rasa ingin untuk
meniru dan mengekor sesiapa. Tidak mengapalah jika karya tulisanku tidak
dianggap hebat dan aku sebagai penulis tidak disanjung-sanjung. Yang penting
bagiku sebagai penulis, aku hanya ingin berkata sejujur dan semampu diriku. Cukuplah
hanya sekedar itu.
Aku pun memang sedar dan tahu di mana
sebenarnya taraf dan kedudukan karya tulisanku. Memang kerananya aku tidak
menjadi jutawan kerana hasil tulisanku itu. Tetapi setidaknya, dengan hasil
tulisan itu jugalah sebanyak sedikit membantu aku meringankan beban kewangan
menyara keluarga, membesarkan anak-anak dan menyekolahkan mereka hingga
beberapa orang sudah ke universiti dan kini sudah mampu bekerja menyara dirinya
sendiri dan sebanyak sedikit menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga
saban bulan, mengikut masing-masing kemampuan.
Jadi apa lagi yang kuinginkan di dalam
hidup ini? Pagi ini, dan malah sudah sejak awal tahun 2013 yang lalu lagi,
pertanyaan yang satu ini selalu datang menjengah ke benak fikirku. Soal dan
tanya itu muncul ke dalam benak fikir, tatkala sedang bersunyi-sunyi sendirian,
atau malah ketika sedang dalam perjalanan, didorong oleh rasa dan sedar di
dalam diri betapa aku tidak boleh selalu menjadi manusia tamak dan perlu lebih
menjadi manusia yang lebih tahu diri, bersyukur dan segera berterima kasih.
Soal dan tanya itu juga mendorong aku
menjadi sedar, betapa tidak semua yang kita kehendak dan inginkan di dalam
hidup ini akan kita dapat dan menjadi kenyataan. Kerana itu jugalah, sebagai manusia
biasa, aku perlu segera membuang segala perasaan tamak dan haloba yang
sedemikian itu, jika masih ada dan berbaki di dalam diri.
Tanya dan soal apa lagi yang kuingin dan
kejar di dalam hidup ini, menjadikan saya lama merenung diri sendiri. Di
samping memikir dan merenungkan kegagalan dan kekecewaan di dalam hidup,
sekaligus mendorong juga saya merenung pencapaian dan segala yang telah saya
peroleh selama ini.
Ya, berbanding teman-teman sasterawan
yang masih berharap dan mengharap karya mereka diterbitkan oleh sesebuah
penerbitan, bukan bermaksud hendak menghina dan berlagak sombong terhadap
mereka, saya sendiri sudah pun punya sejumlah karya yang diterbitkan.
Begitu juga dengan hadiah dan anugerah,
walau tidak bergelar sasterawan negara atau meraih hadiah di luar negara, namun
saya tetap berasa syukur dengan apa-apa anugerah yang telah saya terima sehingga
kini di dalam negara saya sendiri.
Jadi, apa lagi yang saya ingin dan kejar
di dalam hidup saya yang semakin menua dan entah besok atau lusa akan pergi
ini?
Tidak lain dan tidak bukan. Saya hanya ingin menjadi manusia yang
lebih baik, lebih pemurah, lebih ikhlas dan lebih mematuhi segala perintah-Nya.
Kerana saya tahu, saya bukanlah manusia
yang terlalu baik dan sempurna dan bukan hamba-Nya yang selalu patuh. Kini yang
ingin saya kejar dan capai hanyalah ingin menjadi seorang hamba yang patuh dan
selalu mengamalkan segala suruhan-Nya.
Disember 16, 2016
(C) MARSLI N.O dilahirkan
di Estet Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu dan membesar serta mendewasa di
Kuantan, Pahang. Beliau kini adalah penulis sepenuh masa. Secara peribadi, demi untuk mendapatkan gugahan serta gerakan
untuk terus berkarya dan berkreatif, beliau sering berpergian secara
bersendirian ke mana-mana dengan motorsikalnya. Mulai April 2013, beliau
diktiraf sebagai Munsyi Dewan (Sastera) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan