SUATU waktu dahulu ketika usiaku terlalu muda dan sedang terkial-kial berusaha untuk menjadi seorang penulis, kerana tidak begitu tahu untuk memilih mana buku yang benar-benar aku perlukan dan dapat membantu aku membina pemikiran serta menguasai ilmu mengenai penulisan, aku membeli apa sahaja buku untuk kubaca dan jadikan bahan rujukan.
Malah jika ada buku yang tidak dapat kubeli, kuusahakan pula meminjam daripada beberapa kawan yang berbaik hati memberi aku meminjam dan untuk kuzeroxkan.
Sehingga lama kelamaan, rumahku yang sempit semakin menjadi sendat dengan buku dan di tambah pula dengan 100 jilidan rencana sastera dari akhbar Indonesia yang dapat kuakses melalui internet, setiap satu ukuran nya sekitar 8.5" X 11.5" X 2", jilidan majalah Dewan Sastera sejak tahun 1979 hingga kini dan sebuah rak 15 petak berisikan fail-fail dokumentasi mengenai penulis dan pelbagai judul mengenai sastera, seni, sosial dan budaya.
Dalam keadaan sedemikian rupa, sebaik sahaja aku menamatkan perkhidmatan rasmiku sebagai seorang kakitangan daripada sebuah jabatan kerajaan, aku membeli pula beberapa buah rak lagi yang lebih mahal dan kukuh untuk menempatkan ratusan judul buku, termasuk puluhan buku berbentuk meja kopi mengenai sasterawan, tokoh-tokoh seni budaya dan pelakon filem Melayu, yang selama ini memang aku idam-idamkan untuk kujadikan koleksi perpustakaan peribadiku.
Aku sedar dan tahu. Sebagai seorang yang tidak mendapat pendidikan secara formal dari mana-mana pusat pengajian tinggi, aku perlu berusaha lebih untuk mengatasi segala kekurangan diriku jika ingin terus berjaya dan dapat menulis terus menerus.
Aku perlu membuang segala rasa malu yang tidak bertempat dan mengelakkan diri daripada bersikap malas dan berbelas-belas diri.
Kerana itulah aku tidak jemu untuk membaca dan terus membaca dan sekaligus terus membeli buku demi buku. Tidak sahaja buku-buku sastera, tetapi apa sahaja buku yang aku rasakan perlu dan yang dapat memberikan aku sesuatu ilmu.
Sehinggalah pada suatu hari di awal tahun 2018. Aku melihat dan merasakan betapa rumahku yang agak sempit dan seadanya ini semakin hari semakin ditimbuni buku-buku. Di ruang tamu, di dapor, di lorong menuju ke kamar mandi dan malah anak lelakiku tidur di ruang tengah rumah yang di kelilingi rak buku.
Akhirnya aku nekad membuat keputusan. Kerana kini aku telah menjadikan ruang porch atau beranda luar rumahku sebagai ruang untuk aku bersantai dan sebahagian lagi sebagai ruang untuk aku berkarya, maka sebahagian besar buku-buku ini akan kubawa dan kususunkan di rak yang baru di ruang ini.
Pada mulanya aku bercadang untuk menempah rak baru setinggi kira-kira 9 kaki sehingga mencecah siling. Tetapi bila kenangkan betapa bila malam ruang ini juga kujadikan ruang tidur dan istirehatku, serta satu dua kemungkinan yang lain, niat itu tidak jadi aku teruskan.
Malah soal kosnya yang boleh mencecah 1500 ke 2500 RM atau lebih juga turut mendorong aku memikirkan alternatif yang lain.
Akhirnya aku memutuskan untuk menggunakan kemahiran yang aku ada. Sebelum ini aku sudah menyiapkan beberapa projek rak dengan paip pvc 15 mm. Tetapi kerana kali ini rak yang akan kubina perlu mengisi buku-buku, aku menggunakan paip pvc 15 mm yang lebih tebal, iaitu kelas 6. Tingginya sekitar 6' dan lebarnya pula 3' sahaja. Sebagai langkah keselamatan untuk mengelakkan ianya terbalik atau tidak stabil, kulekatkan ianya ke dinding dengan 2 elbow bracket di atas dan di bahagian bawah.
Ketika proses memindah dan menyusun buku-buku ke ruang dan rak baru inilah baru kusedar betapa selama ini rupa-rupanya agak banyak aku telah menyimpan dan membaca buku-buku yang sebenarnya hanya membazirkan waktu milikku sahaja.
Buku-buku ini antaranya buku-buku yang ditulis oleh kawan-kawan yang memang aku kenal berupa karya cerpen, sajak, novel-novel yang tidak pun membantu aku menemukan perspective baru kehidupan tetapi hanya sekadar peragaan lagak serta kedangkalan pemikiran siapa yang menuliskannya.
Malah ada satu kelompok buku yang lain pula ditulis oleh para penulis yang tidak jemu-jemu menulis dengan nada memuji dirinya sendiri, seolah-olah hanya dirinya sahajalah penulis yang terbaik dan hebat sementara orang lain hanyalah lembu atau kerbau!
Buku-buku sebeginilah yang kusisihkan dan asingkan dengan tujuan untuk kubuang atau dijual dengan timbangan kilo.
Selain tidak lagi ingin melihatnya lagi, dengan cara begitu aku juga telah berjaya kembali memberikan ruang yang lebih lapang di dalam rumahku.
Ketika proses memindah dan menyusun semula buku-buku ini juga, aku turut sama merenungi dan melihat kembali perspektif penulisanku peribadi.
Misalnya ini, ketika diriku kini sudah kian menua begini, sudah pencapaian apa yang kuraih dan berpadakah dengan segala wang serta waktu yang telah kuperuntukkan untuk membeli serta membaca segala buku-buku?
Jawapannya memang agak sedikit mengecewakan. Namun itu tidaklah sampai membuatkan aku menjadi terlalu sedih dan gelisah.
Kerana jauh di sudut hatiku, aku selalu mengajar diriku agar sentiasa bersedia untuk menerima segala kelebihan dan kekurangan diriku secara apa adanya sahaja serta tidak bersikap tamak.
Dengan demikian, aku pun kembali meletakkan segala rasa kecewa itu sekedarnya sahaja dan belajar menjadi manusia yang tahu berterima kasih dan bersyukur.
Kenapa tidak aku bersyukur dan perlu berterima kasih dengan segala yang telah Tuhan berikan kepada diriku.
Demikianlah aku membayangkan dan membujuk diriku sendiri. Betapa diriku, seorang anak yang dianggap "anak orang luar" kerana berbapakan seorang keturunan Jawa dan kehilangan bapa sejak kanak, kerana sikap suka melawannya sering menjadi mangsa hinaan, ketika mulai mendewasa bergulat pula melawan dan berjuang sendirian untuk mengatasi segala kekurangan dirinya, kini kerana gigih usahanya telah berjaya sebagai seorang "penulis", yang dibuktikan dengan penerbitan belasan bukunya oleh penerbitan yang bermaruah.
Jadi persoalan sebenarnya bukan soal berapa banyak buku yang telah aku tulis dan sudah diterbitkan. Sebaliknya, yang patut aku persoalkan adalah ini: berapa buku yang benar-benar bererti serta bermakna yang sudah aku tulis dan terbitkan!
Sebagai seorang penulis memang itulah yang sentiasa aku dambakan. Dan kerana berasakan aku masih belum melahirkan sebuah buku yang sedemikian itulah maka sampai kini aku masih terus menulis dan menulis tanpa jemu.
Akhirnya, jika aku menolak dan tidak ingin lagi membaca buku, buku-buku yang tidak bermakna serta tidak bererti itulah yang aku maksudkan.
Mei 29, 2018
(C) MARSLI N.O dilahirkan di Estet Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu dan membesar serta mendewasa di Kuantan, Pahang. Beliau kini adalah penulis sepenuh masa. Secara peribadi, demi untuk mendapatkan gugahan serta gerakan untuk terus berkarya dan berkreatif, beliau sering berpergian secara bersendirian ke mana-mana dengan motorsikalnya. Mulai April 2013, beliau diktiraf sebagai Munsyi Dewan (Sastera) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan