Isnin, Ogos 19, 2019

AKHIRNYA SAYA SEDAR

Coretan MARSLI N. O

SUATU masa dahulu, saat sedang terkial-kial mencari tapak di tanah seni dan sastera di negeri tercinta saya ini, saya berfikir alangkah seronoknya jika saya berjaya sebagai seorang sasterawan dan dapat menjadi mereka yang hebat dan saya kagumi seperti A Samad Said, Shahnon Ahmad, Usman Awang, Ahmad Boestamam, Masuri SN, Kris Mas atau Ishak Hj Mohamad (Pak Sako).

Tetapi itu tidak lebih hanyalah angan-angan bodoh seorang pemula dan pemuda yang sedang dibuai ghairah bercita-cita hendak menjadi seniman atau sasterawan. 

Saya katakan begitu kerana semakin lama hidup dan setelah seratus peratus menyerahkan jiwa raganya kepada seni dan sastera, setelah puluhan tahun, semakin  saya faham dan mengerti, betapa menjadi diri sendiri itu lebih penting ketimbang menjadi pengekor, peniru, penipu atau menyunglapkan diri sendiri menjadi orang lain. 
Kerana, jika sesuatu kejayaan atau pencapaian sendiri, publik tidak akan melihat dan menilai kejayaan atau pencapaian tersebut sebagai pencapaian milik kita peribadi, sebaliknya hanya sebagai pencapaian yang telah dibayangi oleh mereka yang hebat ini. 

Namun sekali lagi, untuk terus hidup dan menjadi diri sendiri di tanah seni dan sastera di negeri ini pun tidaklah semudah menyebut dan menuturkannya. 

Bayangkan ini, ketika orang lain beramai-ramai serta berbondong-bondong memilih untuk bersorak untuk sesuatu yang jelas bejat dan keparat, sedang kita pula bersendirian memilih untuk menyalak, tentulah yang kelihatan songsang dan ganjil adalah diri kita dan bukan mereka! 

Demikian juga ketika mendepani banyak peristiwa demi peristiwa pembodohan massa seni dan sastera masa kini. 

Diri mahu tidak mahu perlu memilih, agar tetap diterima orang banyak dan dilihat popular, sama ada mahu sama menjadi kerbau atau bertahan dengan keyakinannya sendiri dan kerana itu sentiasa dipandang serong atau diminggirkan ! 

Namun saya telah lama memilih jalan hidup seni dan sastera saya sendiri.

Mac 13, 2018
----------------------------------------------------------------------------------
MARSLI N.O kini adalah penulis sepenuh masa yang memilih untuk bersendirian dan mengembara ke serata pelosok tanah airnya sendiri.

Tiada ulasan: