Jumaat, Ogos 16, 2019

KISAH SEBUAH BUKU "JOM MENULIS"

Coretan MARSLI N. O

HASRAT untuk menuliskan sebuah buku panduan penulisan yang tidak bersifat terlalu berkhotbah dan mengajar tetapi memberikan motivasi serta ajakan secara tidak langsung kepada teman penulis pemula sudah sejak awal tahun 1980 saya cita-citakan.

Ketika itu, sekitar tahun 1980 itu, saya bukan siapa-siapa di tengah peta sastera negara Malaysia. Yang saya tahu dan sedar ketika itu, saya hanyalah seorang manusia pemuda Melayu berusia 23 tahun yang bercita-cita untuk menjadi seorang penulis dan sudah pun berjaya menerbitkan beberapa karyanya di akhbar atau majalah. Namun demikian, saya tidak merasakan diri sudah terlalu hebat.

Ketika itu juga, walau ada beberapa teman sesama penulis memberitahu ada teman penulis yang lain mengumpat saya dengan kata-kata, "Cita-citanya tinggi tetapi ilmunya sedikit!" namun saya tidak menjadikan umpatan ini sebagai sebab untuk saya berasa rendah diri dan kecewa.

Sekali lagi, saya sedar dan tahu saya memang seorang penulis yang tidak mendapat pendidikan di universiti dan hanya belajar secara bersendirian untuk kemudian mendaftar dan menduduki perperiksaan Sijil Rendah Pelajaran sebagai calon persendirian sehingga lulus dengan pangkat A.

Namun semua itu bukan menjadi sebab atau alasan untuk saya tidak terus menulis. Apa lagi untuk berasa kecewa dan kalah, semata-mata kerana umpat dan kata hinaan orang. 

Saya juga tidak ingin sekedar menanti dan menunggu buku hebat yang ditulis oleh mereka yang berada atau dari universiti. Sebagai penulis yang memang pemula saya tahu pengetahuan apa yang saya perlukan, yang sifatnya juga pemula.


Dengan semangat dan dorongan peribadi yang demikianlah saya melaksanakan hasrat itu berdikit-dikit, disela kesibukan mencari nafkah untuk menghidupkan keluarga dan diri sendiri.

Apa yang ditemukan ketika membaca saya catat dan saringkan dan kemudian menuliskan serta menyusunnya menjadi bab demi bab. Pengalaman dan proses pengkaryaan peribadi saya kongsikan dengan siapa yang saya agak dan bayangkan sebagai pembaca buku saya, iaitu para pemula. 

Pengalaman dan rasa bosan peribadi mendengar bebelan teori ketika menghadiri banyak bengkel penulisan, mengajar saya, betapa yang diperlukan oleh para pemula bukanlah teori, tetapi bagaimana untuk membukakan dirinya dan memulai menulis.

Kemudiannya, sekitar tahun 1990an, ketika sahabat Rahimidin Zahari yang bertugas di sebuah jabatan berkaitan kesenian dan kebudayaan di negeri Pahang menyatakan hasrat untuk mengadakan bengkel penulisan di seluruh daerah di negeri Pahang, saya segera menawarkan diri dan nota-nota yang telah saya sediakan sejak tahun 1980-an itu saya jadikan asas dan bahan ceramah.

Kerana nota-nota itu telah saya tuliskan lengkap, saya hanya tinggal membacakan dan menambah di sana sini mana yang dirasakan perlu ketika membacakannya di depan para peserta bengkel selama 3 hari 2 malam secara sepenuh masa ini. Di hari terakhir bengkel, peserta ditugaskan untuk menghasilkan karya dan di sebelah malamnya karya mereka akan dikomen untuk pembetulan.

Jadi demikianlah. Buku ini sebenarnya adalah koleksi kertas ceramah bengkel penulisan saya sekitar 3 hari 2 malam secara sepenuh masa yang bertahun saya kumpul, edit dan ubah suai serta praktikkan.

Namun buku ini tidak akan diterbitkan menjadi sebuah buku jika tidak kerana bantuan seseorang. 

Setelah bertahun-tahun ke sana dan ke mari saya menjaja manuskrip ini ke beberapa rumah penerbitan, dan ditolak tanpa alasan yang jelas atau kerana mereka tidak bersedia menerbitkannya, akhirnya, dengan bantuan Tuan Rozlan Mohamed Noor yang ketika itu bertugas di Utusan Publication sekitar tahun 2009, manuskrip ini telah diterima dan kemudiannya diterbitkan secara rasmi sebagai sebuah buku pada tahun 2013 oleh Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd di alamat No1 & 3, Jalan 3/91A, Taman Shamelin Perkasa, Cheras 56100 Kuala Lumpur Tel: 03-92846554 atau laman webnya: www.mybooks.com.my

Buku ini berharga RM 19.70 jika dibeli di kedai buku terpilih yang menjual terbitan Utusan Publication atau RM 25.00 (termasuk kos pos laju) jika dipesan langsung kepada saya.

Niat saya menjual buku ini secara langsung bukanlah kerana ingin meraih untung, tetapi lebih kepada hasrat agar sesuatu yang jika bermanfaat ingin saya kongsikan dengan teman dan rakan pembaca yang lain. 

Kepada sahabat Rahimidin Zahari dan Tuan Rozlan Mohamed Noor, saya tidak pernah melupakan jasa serta kebaikan kalian. Terima kasih.

Maklumat terkini pada April 2019 lalu, saya dimaklumkan buku ini sudah dilupuskan dan dijual secara jualan gudang oleh syarikat penerbitnya yang menghadapi masalah tertentu.

Namun saya bersyukur kerana mendapat rezeki royalti sebanyak 2 kali dari buku ini. Pertama selepas beberapa tahun buku ini terbit sekitar RM 1800 dan kali kedua selepas cetak ulangnya yang entah kali ke berapa sekitar RM 900 lebih.

--Marsli NO
23 Julai 2019

#autobiografimarslino #memoriamarslino #memoirmarslino #kisahmenulis2

Tiada ulasan: