Sabtu, Oktober 26, 2019

DI MANA KINI? (Catatan 24 Oktober 2015)


TAHUN 2001 atau tepatnya 27 – 28 Oktober 2001, Fakulti Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan satu seminar mengenai sasterawan Pahang di Kuantan. Kerana ada urusan penting di luar kota, saya tidak menghadiri seminar ini. Salah seorang pembentang kertas di seminar itu, Abd Ghafar Ibrahim (AGI) membentangkan kertas kajiannya mengenai karya saya berjudul “Marsli N.O: Bukan Kata Hanya”. 

Beberapa bulan selepas acara itu, saya bertemu AGI di satu acara seminar di Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.  Pak AGI memberitahu saya. Ketika beliau usai bercakap mengenai Marsli N.O, seorang peserta seminar bertubuh kecil dan kurus bangun bertanya. Kata AGI, peserta tersebut bertanya apa penting dan perlunya Marsli N.O diikutserta dan diperkatakan di seminar yang berlangsung di negeri Pahang itu.

Dan hari ini, sesudah kurang lebih 14 tahun selepas seminar itu, saya masih menulis,  berkarya dan beberapa buku saya telah diterbitkan. Tetapi peserta bertubuh kecil dan kurus itu,  yang dahulu dengan bangganya saya lihat di satu seminar di Port Dickson isytiharkan dirinya sebagai seorang jurulatih budaya di kem PLKN, berada di mana dia kini? Sehingga kini, saya belum melihat dan bertemu dengan apa-apa buku karyanya yang telah diterbitkan.

Saya tahu dan sedar. Menjadi sasterawan yang ingin mandiri dan selalu menolak untuk bersekongkol dengan banyak hal yang senewen  memang akan selalu dianggap sombong dan tak wajar diajak berkawan  oleh mereka yang berasa berkepentingan. Apa lagi jika soal negeri kelahiran turut dijadikan momokan.   

Sekali lagi, saya tidak pernah ingin merasa terlalu gelisah dan gundah bila soal negeri kelahiran selalu diungkit dan dihubungkaitkan dengan kemajuan, pencapaian dan proses pengkaryaan seorang penulis oleh mereka yang berfikiran sempit. Malah demi untuk meraikan semua dan banyak pihak, bila ditanyakan orang mengenai ini, saya selalu memilih dan mendakwa diri saya hanya sebagai penulis Melayu Malaysia dan bukan milik mana-mana negeri kelahiran. Walau jauh di sudut hati kecil saya, saya sedar dan tahu di mana tempat dan tanah kelahiran saya sebenarnya!

Sejak dulu hingga kini, saya tahu bagaimana sikap dan pandangan mereka di negeri ini terhadap saya. Saya tidak pernah ingin bersedih kerananya. Sejak dulu, saya memilih dunia ini di sini (sastera) kerana memang saya yang memilihnya dan bukan kerana mereka atau sesiapa. Biarkanlah mereka. Apakah mahu berpakat dan berkomplot sesama sendiri, misalnya, untuk membahagi dan mengagih anugerah sesama mereka, suka hati merekalah.

Akhirnya, semua orang akan tahu dan dapat menilai. Siapa sebenarnya si keparat dan pontianak di dalam sastera!

Dan hidup mati saya di tanah sastera ini, bukan mereka atau sesiapa pun yang menentukan.

Oktober 24, 2015
-- Marsli NO

-------------------------------------------------------------------------------------------------
MARSLI N.O kini adalah penulis sepenuh masa yang memilih untuk bersendirian dan mengembara ke serata pelosok tanah airnya sendiri.

Tiada ulasan: