Rabu, November 06, 2019

TERINGAT KEMBALI KISAH LAMA (Catatan 6 November 2013)

PADA suatu masa ketika berusia sekitar 21 tahun, sekitar akhir tahun 70an, saya yang masih bujang menyewa sebuah rumah kecil di pinggir hutan, yang asalnya adalah pondok menunggu durian, di suatu kawasan kebun durian di tepi jalan tikus menghala ke suatu kawasan perindustrian, yang kebanyakan penyewanya adalah mereka yang sudah berkeluarga. 

Selain pondok yang saya diami secara menyewa itu, ada 4 lagi rumah sewa di situ. 1 rumah satu pintu didiami oleh satu keluarga dan 3 rumah yang lain dipisah dan dibahagikan untuk didiami oleh 2 keluarga. Bermakna ada 7 yang sudah berkeluarga tinggal di sekitar situ dan setahu saya, sayalah satu-satunya orang bujang yang menyewa di situ dan kerana itu saya tahu membawa diri. 

Setiap hari, saya hanya keluar untuk minum di warung kopi milik saudara tuan tanah dan segera pulang ke rumah sewa selepas itu. Begitu juga selepas pulang dari kerja, saya tidak singgah berbual panjang dengan penyewa lain di situ dan menyapa mereka hanya sebagai tanda hormat. 

Dan saya masih ingat. Kerana ketika itu saya hanya memiliki sehelai sahaja baju t untuk ke mana-mana,  maka setiap hari baju t berwarna merah itulah yang saya pakai ke mana-mana setiap hari dan malam.

Sebulan selepas menyewa di situ, pada suatu pagi, ketika mengheret basikal saya untuk ke kilang tempat saya bekerja, saya mendengar seorang yang sudah berkeluarga itu, yang bertugas dengan satu pasukan berseragam, heboh bercerita di kedai kopi bahawa semalam ada seseorang mengintai rumahnya dan pengintai itu berbaju merah. 

Ketika pulang rehat tengah hari itu, tuan pemilik tanah dan rumah yang saya sewa bertanya saya mengenainya. Saya sedar dan tahu, sayalah yang ingin ditudingnya.

Saya menjawab dengan suara tegas dan bersahaja. Kata saya, kalau sudah jelas nampak pengintainya berbaju merah, kenapa tidak langsung dikejar dan ditangkap saja dan buat apa hendak bising-bising di awal pagi begitu. Apa maksud orang itu sebenarnya? Hendak menuduh dan memburukkan sesorangkah? Saya bertanya kembali kepada tuan pemilik tanah dan rumah sewa itu.  Tuan pemilik tanah dan rumah itu mengangguk dan saya dapat menduga apa maksud penyewa yang buat heboh itu.

Selang beberapa bulan kemudian, rumah sewa yang didiami pembuat bising itu terbakar hangus. Baru ketahuan dia menyimpan banyak tong minyak petrol yang dia curi dari kenderaan pasukannya yang dia pandu. Dan saya kembali teringat, setiap tengah hari, saya selalu melihat lelaki mulut puaka itu selalu pulang ke rumah sewanya dengan kenderaan pasukannya dan menurunkan beberapa tong.

Malah saya pernah terdengar beberapa penyewa lain berbisik sesama sendiri mengenai petrol murah yang dijual lelaki itu. Tetapi kerana saya waktu itu hanya menunggang basikal lumba dan penyewa di situ hanya bermotorsikal, jadi perniagaan petrol murahnya tidak atau kurang mendapat sambutan.

Begitulah satu kisah yang pernah saya alami ketika berusia 21 tahun dan tumpang menyewa di suatu kawasan yang didiami oleh mereka yang sudah berkekuarga. Ketika itu, saya tidaklah terlalu pemarah dan boleh menerima apa-apa tuduhan atau perbuatan orang dengan hati yang tenang. Mungkin kerana saya sudah mulai menguruskan hidup sendiri, mencari nafkah sendiri, sejak usia 13 tahun, maka saya dapat menghadapi semua itu dengan hati berani dan yakin kepada pendirian: berani kerana benar, takut kerana salah!

Tuan-tuan dan puan-puan pembaca sekalian yang membaca catatan saya ini: dapatkah menangkap apa maksud yang saya hendak sampaikan melalui cerita ini?

November 6, 2013

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
MARSLI N.O kini adalah penulis sepenuh masa yang memilih untuk bersendirian dan mengembara ke serata pelosok tanah semenanjung dengan motor tuanya. 


Tiada ulasan: