SATU pagi tahun 1971, bersama beg kecil berisikan
beberapa pasang pakaian, saya, ibu dan adik perempuan saya turun meninggalkan kampung. Kami
memilih pergi diam-diam dan tidak mengharapkan sebarang pamit walau dari
sesiapa pun.
Jauh di sudut hati saya memendam rasa sayu. Juga rasa terkilan. Mengenang
sekolah yang terpaksa saya tinggalkan di pertengahan jalan. Namun saya bertahan
agar tidak menitiskan air mata.
Selain kerana miskin dan mahu mencari kehidupan yang lebih baik di negeri
orang, rasa terhina dan dihina kerana hidup menumpang di tanah orang mendorong
saya, ibu dan adik perempuan saya pergi lagi meninggalkan kampung halaman.
Tujuan kami tidak lain. Ke negeri Pahang hala dan tujuannya. Di sana, beberapa
saudara di sebelah ayah saya yang berketurunan Jawa masih ada dan kami berharap
mereka akan menerima kami sekedarnya.
Kami tidak berniat hendak mengemis simpati
atau menyusahkan mereka. Kerana dahulu ibu dan ayah saya pernah tinggal bekerja
di sana, ibu saya mengirakan dia boleh memohon kerja sebagai buruh di ladang
untuk menampung hidup kami sehari-hari.
Di negeri Pahang, mulai tahun 1971 itu, kami
kembali menjadi orang perantau dan saya meneruskan hidup tanpa meneruskan alam
persekolahan menengah saya.
Untuk membantu hidup keluarga, walau baru
berusia 13 atau 14 tahun, saya juga mencari kerja yang boleh memberikan saya
wang. Misalnya bekerja sambilan di tapak semaian benih kelapa sawit dan
membantu membersihkan kebun milik orang.
Namun kerja-kerja sambilan tersebut tidak setiap hari ada dan kerana itu
juga saya sentiasa hidup dalam keadaan tidak berduit. Akhirnya, saya memilih
untuk menoreh getah di kebun milik orang. Namun kerana pokok getahnya sudah
terlalu tua dan saya pula tidak terlalu mahir menggunakan pisau menoreh, hasil
yang saya perolehi hanyalah sekeping getah sahaja setiap hari. Itupun setelah
saya bekerja dari awal pagi hingga ke jam 1.00 tengah hari.
Kerana itu jugalah, ketika semakin meningkat
usia, sekitar 16 atau 17 tahun, begitu mendengar ada projek pembinaan rumah
untuk pekerja ladang yang baru, saya segera memohon dan diterima bekerja
sebagai pekerja rencam. Tetapi sesudah hampir setahun dan projek pembinaan
tersebut disiapkan, saya kembali jadi penganggur.
Sehinggalah beberapa minggu kemudian,
seorang kawan memberitahu kilang kelapa
sawit di sekitar situ memerlukan beberapa pekerja dan saya tanpa bertangguh
segera melamar kerja.
Saya diterima sebagai pekerja dan kerana
penyelia kilang tersebut pernah melihat saya mengendalikan mesin pembancuh
simen dan memandu dumper pengangkut simen di tapak pembinaan sebelumnya, saya
ditawarkan untuk bekerja di bahagian bengkel dan penyelenggaraan sebagai
pelatih juru gegas.
Hampir setahun bekerja sebagai pelatih juru
gegas dan sesudah hampir 6 tahun meninggalkan kampung di Terengganu, suatu hari
pada bulan Mei tahun 1977 saya berasa terlalu rindu untuk pulang dan ingin
kembali melihat padang tempat bermain, tali air tempat berendam dan halaman
sekolah yang saya tinggalkan. Walau ketika itu saya sedang bertugas dan hari
sudah menjelang tengah hari, saya mengisi borang memohon cuti selama seminggu
dan memberikan alasan bohong mengatakan ada kematian keluarga di kampung.
Selain rasa rindu yang terlalu di dalam dada,
saya ketika itu juga berasa teramat gelisah memikirkan hala tuju hidup saya di
masa depan dan buntu mengenang apakah cita-cita saya untuk menjadi seorang
penulis akan berjaya atau tidak. Segalanya kabur dan tidak pasti dan kerananya
setiap hari saya menjadi seorang remaja yang gelisah.
Dengan bekalan pakaian sekedarnya, senyap-senyap
saya pulang dan di kampung, saya tumpang bermalam di rumah seorang saudara di
sebelah nenek saya.
Berada di kampung, saya berasa agak tenang. Setiap
pagi saya keluar dan turun ke bandar Kuala Terengganu. Merayap dan merayau
tanpa tujuan yang jelas atau kadang-kala berada lama melihat dan membelek buku di
kedai buku dan melepak di setesen bas Kuala Terengganu, sambil memperhatikan
telatah manusia atau membaca buku.
Ketika kembali semula ke kampung inilah, saya banyak menulis dan
dan mencatat. Tidak pasti apakah itu sajak atau apa. Namun saya
mematah-matahkan barisnya agar menjadi
lebih pendek dan apa yang saya tulis atau catatkan itu pun memang
terlalu pendek.
Setelah kembali pulang ke Kuantan, saya
kembali meneliti sekian banyak catatan saya yang pendek itu. Antaranya adalah
ini:
|
jendela malam
rumah pasungkah yang paling setia
kuaklah kemuncakmu
burung-burungku
bersama apiku
memerguk
tertimbus.
|
|
Walau pun sebelum ini pun saya sudah menulis, mencatat
dan kemudian mengirimkan catatan saya itu ke majalah Dewan Sastera, namun entah kenapa catatan saya yang satu ini
saya rasakan padat dan berjaya menyatakan sesuatu hasrat yang ingin saya
nyatakan secara tersirat.
Jika sebelum ini saya mengirimkan karya saya hanya
dengan tulisan tangan, kali ini saya meminta bantuan seorang kawan bernama
Jasni, yang bekerja di pejabat pengurusan kilang untuk tolong menaipkan catatan
pendek saya yang saya berikan judul “harapan” itu. Kerana mengenangkan jasa
baiknya membantu menaipkan catatan pendek saya itu, saya tidak langsung menegor
atau membantah ketika nama samaran penulis saya sebagai “marsli n.o” telah dia
ubah menjadi “masni n.o” di dalam teks sajak
tersebut.
Sajak yang kini telah ditaip rapi itu saya
kirim ke majalah Dewan Sastera sekitar akhir bulan Jun 1977. Hampir dua tahun
saya menunggu dan tetap terus menulis karya atau catatan yang lain dan juga
saban bulan mengirimkan ke majalah Dewan Sastera. Akhirnya, catatan tersebut telah
disiarkan dalam majalah Dewan Sastera keluaran Mei 1979.
Ketika ini juga, saya telah tinggal menyewa di
sebuah rumah kecil di dalam kebun durian berhampiran satu kawasan perindustrian
di Kuantan dan telah berpindah kerja .
Hidup di bandar semakin meluaskan sudut pemandangan
dan fikiran saya. Di bandar, saya lebih kerap menghabiskan waktu ke kedai buku
dan sedikit demi sedikit mulai membeli buku-buku yang saya fikirkan penting
untuk membantu perkembangan peribadi saya sebagai seorang penulis.
Betapa pun sulit dan sukar kerana hidup dan
berusaha bersendirian, saya tetap tidak mahu mengalah atau menyalahkan keadaan.
Saya sedar dan insaf. Tiada siapa pun akan membantu saya untuk mencapai segala
cita-cita jika bukan saya sendiri yang berusaha terus menerus tanpa jemu.
Kerana sedar saya tidak memiliki sebarang
sijil akademik di peringkat menengah, bersendirian saya belajar melalui
buku-buku dan kemudian menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran secara
persendirian dan berhasil juga lulus dengan pangkat A.
Tahun 1981 saya berkahwin dan bertukar kerja
sebagai kakitangan kerajaan peringkat rendah di sebuah hospital kerajaan.
Kegiatan menulis dan seni saya juga semakin maju dan berkembang. Saya semakin
membukakan diri menyertai persatuan penulis.
Jabatan di mana saya bertugas juga sering
menganjurkan pelbagai kursus untuk meningkatkan kemahiran anggotanya. Setiap
kali jika ditawarkan berkursus, saya memilih menaiki motorsikal C70 untuk pergi dan pulang. Setelah kembali
bertugas di pejabat setelah menghadiri sesuatu kursus, saya tidak pernah
terfikir untuk membuat sebarang tuntutan perjalanan, walau sekadar tambang
teksi atau bas.
Setiap petang selepas berakhirnya kursus, saya
akan keluar menunggang motorsikal C70 saya melalui kampung halaman yang telah
saya tinggalkan. Saya pergi diam-diam dan tidak menghubungi sesiapa di sana.
Ada waktunya, saya duduk dan berhenti lama di sebuah jambatan yang
menghubungkan kampung itu dengan kampung-kampung yang lain. Di situ saya duduk
sendirian merenung dan mengenang kembali segala kisah di masa silam saya di kampung
halaman ini sehingga menjelang waktu Maghrib.
Hidup sebagai perantau di Negeri Pahang, walau
sudah berkeluarga, semakin berjaya
sebagai seorang penulis dan menjadi seorang ahli persatuan penulis di sana,
saya tetap mengenang dan mengingatkan diri saya sendiri bahawa saya tetap
seorang anak kelahiran negeri Terengganu.
Kerana itu juga, bila setiap kali soal tanah
lahir dan keberadaan seorang penulis ditimbulkan oleh kawan-kawan di dalam
persatuan, saya dengan tegas mengatakan bahawa saya adalah seorang penulis
Melayu Malaysia.
Kemudian, setelah beberpa anak saya mulai dilahirkan
di negeri Pahang, beberapa teman mengesyorkan agar saya memohon sjil kerakyatan
negeri Pahang. Kata kawan saya, “Jika
kau ada sijil kerakyatan negeri Pahang, mudah sikit bila kauhendak minta
apa-apa.”
Namun saya tetap bertahan dan tidak ingin
menggadaikan semangat dan “kerakyatan” negeri Terengganu saya.
Setelah berkahwin dan anak-anak semakin membesar,
saya semakin kerap pulang ke negeri Terengganu. Pantang mendengar atau tahu
mengenai sesuatu acara sastera di sana, dijemput atau tidak, saya akan pulang untuk menyertainya.
Sampai bila dan di mana pun saya tetap
menginagt dan mengenang tanah dan negeri kelahiran saya.
Sebagai seorang penulis saya tidak ingin
menjadi sesumpah. Tanpa segan dan silu
menerima anugerah dari persatuan di negeri mana saya tinggal dan pada waktu
lain menerima atau mencalonkan pula dirinya untuk sesuatu anugerah di negeri
kelahirannya sendiri.
Tanpa niat mahu menghina atau menyindir
sesiapa, saya bukan manusia yang demikian.
Kerana Terengganu adalah negeri dan tanah
kelahiran saya. Di situlah saya membesar dan mengenal segala suka dan duka
serta derita hidup.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
MARSLI N.O
kini adalah penulis sepenuh masa yang memilih untuk bersendirian dan mengembara
ke serata pelosok tanah semenanjung dengan motor tuanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan