Selasa, November 12, 2019

BERSIAP DENGAN KEHILANGAN (Memoir 30 Ogos 2010)


“AKU  sudah memilih untuk sekadar menjadi air,” begitu  kata saya  pada suatu senja yang semakin diselubungi gelap kepada dia, kira-kira 20 tahun yang lalu. Tangan saya  letakkan di atas palang besi penghadang tepian sungai dan dia yang berdiri di samping  sekejap menoleh.

Sambil mata  tertumpu renungnya  ke arah sungai, saya  berkata lagi, “Itu pilihanku kini. Aku tidak akan apa-apa. Perbuatlah apa sahaja. Kencingilah aku. Ludahilah aku. Atau  lepaskanlah tinja ke atas diriku. Namun aku akan tetap dan terus akan mengalir juga. Kerana begitulah sifatnya air.  Lembut dan cair, tetapi tidak mudah untuk mengalah. Kalau kau menghadang, alirku akan tetap  diteruskan juga, atau aku akan  berkeluk ke arah yang lain. Tetapi, kalau nanti aku berubah menjadi banjir, bersiaplah menanggung akibah dan bencananya!”

Begitu saya menamatkan bicara sambil mengacungkan tinju saya ke udara.

Dia yang berdiri di sebelah saya tidak sedikit pun bersuara. Dan saya melepaskan sebuah keluh. Apa yang sejak lama terasa berbuku dan menekan jiwa bagaikan sedikit mengurang dan terlepas sudah.

Kami bertemu di senja yang semakin gelap itu, seperti seringnya, untuk berbual dan saling berdiskusi mengenai arah dan hala tuju kerja seni kami yang masih terkial-kial ini.  Kawan yang memang pun jumlahnya hanya sebelah telapak tangan satu demi satu  menghilang.  Alasannya, kesebokan dan keperluan mencari rezeki lebih diutamakan dari sekadar berfikir dan berpayah dengan seni.

Saya tidak menyalahkan mereka kerana memilih demikian. Saya tahu, berkerja untuk seni di sebuah kota kecil seperti kota yang kami diami ini, tidak menjanjikan sesuatu yang pasti. Apa lagi bila pegawai-pegawai yang menguruskan seni pula lebih mencari siapa yang lebih  setia sebagai penjilat dan pengangguk.

Kami bertempik dan membentak, selepas bosan mengeluh dan bersabar bila ruang untuk latihan teater kami menjadi ruang monopoli kumpulan penari yang dipelihara atas nama kumpulan seni dan budaya, yang dimagga serta dikunci pintunya.

Lalu kami menjadi si bangsat dan perempat yang berlatih di bawah pokok di tepi pantai.  Puncanya, kerana kami tidak selalu ingin mengangguk dan menjilat, mengiyakan  apa sahaja suruh dan perintah para pegawai yang berasakan dirinya lebih bijak dan cerdik daripada orang lain.

Dihenyak oleh duga sebegitu rupa, yang saya rasa lebih banyak belenggu dari memberikan ruang untuk meneruskan kreativiti, saya memutuskan untuk bergerak di luar kota kecil ini.   Walau saya tahu dugaannya lebih besar dan tegar, namun saya bersedia menghadapinya kerana saya tahu duga itu adalah duga yang akan cepat mematangkan jiwa saya sebagai seorang pekerja seni.

“Aku tahu bukan di sini  tempatku. Tiada siapa yang akan dan mahu ambil peduli. Jadi kupilih untuk bergerak dan membesar di luar,” begitu kata saya, tegas dan jitu.  Dan dia masih tetap tidak bersuara.

Peristiwa antara saya dan dia di senja yang semakin diselubungi gelap puluhan tahun yang lalu itu masih segar di benak ingatan saya. 

Seperti juga pada waktu yang lain, di sebuah  kamar hotel beberapa tahun yang lalu, dia  begitu bersungguh berdebat dan mengemukakan hujah mahu menundukkan saya. 

Alasannya, apa yang saya kononnya sedang "perjuangkan" hanyalah utopia dan sia-sia belaka.  Tiada apa pun akhirnya yang akan berubah atau mampu merubah dan malah itu akan menyebabkan saya dipandang serong oleh banyak pihak.

Memang saya agak berasa terganggu dengan cara diskusinya yang dimulai dengan mukaddimah yang amat panjang sebelum tiba ke pokok persoalan sebenar.   Apa yang  disebut serta diperjelaskan dalam mukaddimah itu adalah definisi yang bertele-tele, yang bagi saya banyak membazirkan waktu untuk suatu percakapan atau diskusi biasa.

Namun kerana sejak mula bukan niat saya hendak berdebat dengan sesiapa mengenainya,  saya memilih jalan tengah yang lebih mudah.

Tanpa definisi yang bertele-tele, saya sekadar bertanya.  Kata saya, cuba berikan jawaban yang ikhlas, apakah menjadi satu kesalahan dan kehinaan tatkala kita sebagai manusia yang bebas dan merdeka ini mahu menyatakan hasrat dan pandangan hidupnya  selagi tidak sampai mempersetankan agama, moral dan undang-undang?

Memang saya tahu dan sedar cara saya menjawab dan berhujah ketika itu tidak langsung mematuhi sebarang epistemelogi serta dengan teknik penalaran yang betul, namun saya tetap menuturkan juga kata demi kata sejujur hati saya kerana niat saya hanyalah mahu menyampaikan suatu maksud secara jelas.

Hampir separuh senja kami berdebat dan  kerana mahu menghormati  kawan, saya memaksa diri menjadi seorang pendengar yang taat dan mencatatkan apa-apa yang saya fikirkan penting. Saya tahu yang bercakap mengemukakan salah satu teknik berhujah dan berdebat yang dipelajarinya,  tetapi seperti selalu, saya lebih percaya dan yakin kepada ketulusan dan kejujuran hati sendiri ketika mengucapkan sesuatu.

Saya tahu dan sedar, ajakan untuk berdebat dan saling mematahkan hujah itu tidak lain adalah  satu usaha pendebat yang sia-sia  untuk memujuk saya agar  mengalah dan surut.

Tetapi saya tetap tidak berasa perlu untuk  mengalah kerana saya tidak pernah berniat untuk beroleh kemenangan apa-apa. 

Jadi, kalah atau menang bukan yang ingin saya capai atau menjadi fokus. Sekali lagi saya tegaskan, saya hanya ingin menyatakan sesuatu maksud, seperti misalnya suka atau tidak suka terhadap sesuatu. Jadi apakah itu menjadi satu kesalahan dan keaiban atau perlu didebatkan begitu sesungguh hati?

Saya tahu ilmu saya tidak setinggi mana. Yang ada pada saya hanyalah rasa tulus dan meyakini bahawa apa yang saya sebutkan itu adalah sesuatu yang saya fikir perlu dibincang bersama untuk mencari benar atau salahnya.

Kerana itu jugalah, saya memilih untuk tidak melawan dan tidak kembali memperdebatkannya  bila sekali waktu ada sindiran kononnya saya terlalu ghairah mahu menjadi pemuka. 

Saya tidak sedikit pun perlu berasa aib kerana menyatakan betapa sudah sampai waktunya  setiap mereka yang memilih menjadi sasterawan mempertanyakan kembali sudah di mana keberadaan dirinya sendiri sebagai sasterawan. Sekadar mengulang-ulang apa yang sudah sedia ada, atau berusaha mencari cara dan bentuk pengucapan yang lebih baru?

Saya dengan penuh sedar menyedari siapa yang berada di sekeliling saya. Di antara mereka, siapa sebenarnya sahabat dan siapa sebenarnya si talam bermuka dua.

Sekali lagi, saya sekadar ingin menyatakan. Kalau ianya sesuatu yang tidak benar, tunjukkanlah jalan yang lebih benar. Saya boleh menerima dengan hati dan fikiran terbuka kalau  yang datang bukanlah kecaman dan sindiran,  yang bagi saya lebih hina dan kurang bertamadun bila yang berbuat demikian adalah mereka yang mengaku mengamalkan tauhid dan tinggi ilmunya.

Saya sepenuhnya sedar, kerana belajar dan tahu mengenainya, di mana ruang saya berdiri dan siapa yang di sekeliling saya.  Walau sudah sejak mula mengetahui lewat ilmu duga dan firasat, tapi saya tidak pernah mahu menghukum sehingga belum tiba waktunya.

Jadi saya hanya diam dan sentiasa waspada. Sambil menanti benar-benar tiba hari yang diramalkan.

Walau kini, barangkali di mata banyak orang yang kurang arif bahawa saya seperti semakin kehilangan, namun saya sebenarnya sudah sejak lama bersedia menghadapi.

Hidup dan mati, datang dan pergi atau perpisahan adalah lumrah kehidupan dan saya tidak pernah ingin bersedih kerananya. Saya tidak pernah berasa rugi walau tidak mendapat apa yang orang lain beroleh, semata-mata kerana saya tidak pernah ingin menjadi sebahagian mereka.

Saya mungkin kehilangan sesuatu, tetapi saya sebenarnya tidak pernah berasa rugi kerana kehilangannya. Apa yang sedang terjadi di depan mata saya sendiri, semakin meyakinkan saya itu.

Kerana kita sebenarnya tidak pernah mahu mendahului tetapi lebih seronok menjadi pengulang masa sudah. Tidak lain, kerana khuatir kalau tidak mendapat imbalan-imbalan dalam bentuk peribadi  yang boleh menyebabkan hidup menjadi  miskin dan papa.

Ya, saya memang tidak mendapat imbalan-imbalan dalam bentuk itu dari pihak-pihak tertentu, tetapi   saya masih tetap memiliki diri saya sendiri.

Dan yang penting, walaupun tidak kaya raya, namun saya pun tidak juga miskin dan papa kedana.

Merdeka!

Ogos 30, 2010 (Ramadhan 20)

____________________________________________________________________________________

MARSLI N.O kini adalah penulis sepenuh masa yang memilih untuk bersendirian dan mengembara ke serata pelosok tanah semenanjung dengan motor tuanya. 







                                                                                                                                          

Tiada ulasan: