Isnin, Februari 21, 2011

SELEBRITI (2)

Sajak MARSLI N.O

Impian yang menghidupkan selebriti kita menjadikan dirinya manusia sejuta mungkin.  Cintanya sering bertukar dan berganti seperti kasut atau pakaian. Di pentas peragaan, dilepaskan cantiknya yang palsu dari celah wajahnya yang terbelah dan di kamar sunyinya, dia  berkelahi dengan usia yang selalu mencemburuinya tanpa mengira waktu dan lokasi.

Sunyi yang selalu mengalir di pembuluh darahnya cuba ditawarkan dengan riuh yang selalu memabukkan. Dia mereguk dukanya yang  rakus dan tiada rasa belas. Jantungnya yang setiap detik mendegupkan lagu rindu menjadikan dadanya semakin menipis dan leper.

Populariti merubah dirinya menjadi boneka jinak. Tanpa soal, dia  menyerah kepada  siapa yang menawarkan harga paling tinggi dan mahal. Dengan mata terpejam dan kepala yang diletakkan di bawah, dia terbang mencari syorga demi syorga.

Jun 30, 2010 –  Julai 14,  2010

Sumber Siaran: Mingguan Malaysia, 20 Februari 2011 

Ahad, Februari 20, 2011

LIHAT SECARA TERBALIK


LIHAT secara terbalik, jika kakinya tiada, maka hantulah dia. Pesanan nenek yang saya dengar semasa saya masih kanak ini sampai kini bagi saya tetap relevan dan berguna.

Begitu selalu saya melihat dan membaca sesuatu. Bagi saya, setiap segala sesuatu, teks, yang tertulis sebagai buku atau laporan akhbar dan majalah, persitiwa, lukisan, percakapan dan apa lagi janji-janji manis menteri,  perlu dilihat dan dibaca juga secara terbalik. 
 
Dengan begitu saya menjadi tidak mudah terpedaya dan selalu kritis berfikir untuk menerima dan menolak.

Memasuki dunia kreatif dan sastera,  semakin menjadikan saya kian  mempercayai dan sekaligus mempraktikkan petua almarhum nenek saya yang sudah sekian lama berpulang ini.

Saya membaca karya sastera dan bukan sastera juga secara terbalik. Bagi saya maknanya tidak hanya apa yang tertera di permukaan, tetapi juga di belakang sesuatu teks.

Begitu juga ketika sedang menuliskan sebuah karya. Saya juga berfikir dan menghantarnya secara terbalik.

Saya maklum kalau ada pembaca karya saya yang tidak begitu memahaminya. Saya tidak mahu atau tidak akan mempersalahkan mereka. 

Hidup di tengah dunia yang selalu memaksakan keseragaman dan ikut-ikutan, memang mudah menjerumuskan manusia yang  kurang kuat untuk bertahan dengan keperibadiannya sendiri supaya mengangguk dan bersetuju dengan apa sahaja makna yang sudah disepakati ramai.

Mereka tidak mahu sampai dituduh pendurhaka atau manusia kurang ajar. Kerana itu lebih berbahagia sekadar menjadi penurut dan pengekor.

Saya tidak akan memaksa siapa sekalipun pembaca karya saya. Terserah mereka mahu menjad pembaca golongan mana. Tugas saya hanya menulis. Kalau mereka mahu terus membaca secara penurut, nah saya tidak apa-apa.

Kerana itu juga, saya membaca apa yang selalu ditulis  dalam bahasa Melayu oleh seorang penulis berbangsa lain  itu dengan pemahaman dan makna yang lain. Tidak hanya sebagai apa adanya di permukaannya sahaja.

Begitu juga dengan sikap diam dan kebaikan melampau yang dipamerkan oleh seorang lagi sahabat baiknya itu. Maknanya tentulah lebih dari itu.

Dan lebih-lebih lagi mengenai isu yang dibangkitkan, yang semakin menjadi meleret-leret.  Isu sebenarnya bukan hanya sebuah buku. Tetapi lebih dari itu.  

Terserahlah apakah kita mahu mengerti atau terus menjadi buta.

Dan waktu sama, saya kembali mengenang almarhum nenak saya. Dia tidak pernah ke universiti, tidak tahu dan tidak pernah pun belajar mengenai teori semiotik atau simboisme. 

Namun petuanya mengenai bagaimana untuk mengenal apakah seseorang atau sesuatu lembaga itu hantu atau manusia, sampai kini tetap membantu saya. Samada sebagai warga di sebuah negeri yang mengaku  sudah sepenuhnya merdeka, mahu pun sebagai manusia yang bergulat dengan seni dan karya kreatif.

Untuk itu, terima kasih, Nenek.

Februari 20, 2011

Rabu, Februari 16, 2011

JANGANLAH KAU MENYEBOK


BIARKAN aku dengan segala kerja serta urusanku. Dan kau, tidak perlulah hendak menyebok dan berlagak sebagai wali yang memarahi aku kerana kononnya kini semakin kesurupan menghamun serta memaki-maki.

Jangan ambil peduli. Aku terlalu benci melihat segala lagak kau itu. Konon  kaulah seorang wali, tetapi di belakang, siapa tahu segala tembelang dan topeng yang yang sembunyikan itu?

Pedulilah apa pun kalau aku akan terus menghamun dan memaki. Kalau kau tidak faham dan tahu mengenai sesuatu, atau memang dengan sengaja hendak membodohkan kau dirimu kononnya tidak tahu, silakanlah. Itu bukan masalah diriku.

Macam aku katakan sejak dulu. Jangan hendak menyebok dan bersusah payah hendak berkhotbah bagaikan seorang wali,  sedangkan segala apa yang sedang berlaku tidak pun kau faham dan mahu ambil tahu.

Nasihatku, duduklah diam-diam  dan selesaikan urusan diri kau sendiri.  Kalau kau rasa diri kau terlalu mulia dan suci, duduk dan diamlah di dalam kamar mulia dan suci kau sendiri itu. 

Janganlah kau marah atau berasa terguris di hati kalau aku katakan betapa  bodoh dan bahlolnya diri kau itu yang tidak henti dan sudahnya dengan perasaan mulia dan suci itu.

Kerana, walau di depan matamu, cacing seekor yang dahulu kau langir dan nobatkan dengan segala gelar itu kini telah berubah laku dan  melakon watak seekor naga, serta tanpa sedikit pun silu dan segan telah  merenjiskan kencingnya ke muka maruahmu,  namuntetap juga kau tega berpelok mesra dengan dirinya.

Dan malah, betapakah bodoh dan bangangnya diri kau itu bertambah-tambah. Bila seekor lagi cacing yang dengan licik dan bijak melakonkan peran seorang budiman  lagi cendikiawan, tetapi di dalam diam menghenyak segala yang boleh dihenyak serta segala yang boleh disunglap untuk kepentingannya sendiri, kini kau nobatkan berlebihan lagi sebagai tokoh yang didahulukan di mana-mana.

Walhal, tidakkah kau tahu, cacing yang seekor ini sebenarnya lebih licik  dari segala cacing yang ada, dengan segala lakon dan sandiwaranya itu.  Konon, dialah pembela, dialah pemuka yang bijak dan pintar bercakap mengenai segala benda dan perkara yang ada kaitan dengan jatuh dan bangun bangsamu.

Tetapi tahukah kau betapa dengan lakon dan puranya itu  jugalah nama dan hebatnya diri dia dijaja ke mana-mana. Seolah-olah tiadalah orang lain yang lebih bijak dan cerdik berbanding diri dia dan kerana itu, jika ada segala sesuatu, maka hanya diri dialah yang layak didahulu  serta dikedepankan. 

Kerana itu, kerana bodoh dan bahlolmu yang berlebihan itu, janganlah kau hendak jadi penyebok dan berlagak suci konon dirimu adalah wali.

Sudahlah. Janganlah kau menyebok.

Februari 16, 2011

Jumaat, Februari 11, 2011

AKU PEDULI APA


ALANGKAH bodoh dan sia-sia usaha dan perbuatan mereka. Orang sedang berlumba ke bulan dan meneroka dasar laut, mereka masih bertempik dan berteriak hanya kerana sebuah buku dan sebongkah kata yang semakin nipis maknanya bernama bahasa.

Bukan sekali atau dua kata kejian itu bergema, secara langsung atau bersimbol diucapkan. Dan pengucapnya pula, bukanlah siapa lagi kalau tidak mereka yang sekulit dan setanah lahir dengan bangsaku juga.

Aku tahu dan sedar semua itu. Ketika dunia semakin merajai benda dan kuasa,  bagi mereka, bercakap mengenai maruah dan bahasa sendiri, tidak lebih sekadar membuang tenaga dan waktu yang konon sepatutnya dipergunakan untuk benda dan perkara yang lebih mendatangkan laba dalam bentuk benda,  yang mudah dilihat dan dipegang oleh mata zahir dan kuasa yang boleh dipergunakan untuk terus membelit dan mengkuntau siapa sahaja yang boleh dibelit serta dikuntau.

Aku peduli apa. Walau kata pepatah sepuluh jong masuk, namun anjing tetap bercawat ekor juga. Apa hendak aku sedih hingga membawa alir air mata tanpa hentinya.

Nama menyebut dan berkata, tetaplah menyebut dan berkata juga. Kerana,  dengan sengaja membiarkan mata dan mulut menjadi buta dan bisu terhadap segala yang bermaharajalela di depan mata, samalah membiarkan diri mati sebelum waktu matinya yang sebenar.

Biarlah tiada siapa ingin mengacuhkan. Namun aku tetap akan berkata juga.

Peduli apa aku kalau masih tiada yang sedar dan peduli segala dan tega terus berjoget dan berjabat tangan mesra dengan para anjing yang menyamarkan diri sebagai sahabat dan pembela, walhal di belakang dan secara berselindung dialah antara pemuka penting menjadi dalangnya angkara.

Seperti juga seekor biawak yang kini sudah menunjukkan lidahnya yang sebenar itu. Dahulu begitu ditatang dan dilangir dengan segala air wangian. Tetapi kini, biawak itulah yang sudah berubah wajahnya menjadi seekor anjing yang galak menyalak dan tanpa sedikit pun  silu dan segan menghamburkan kencingnya ke wajah maruah mereka yang pernah dahulu menatang  dan melangir dia.

Memang bangsa yang bernama Melayu ini mudah lupa dan mudah terlalu memberikan segala, hanya kerana didodoi dengan mimpi dan igau. Pantang yang datang pandai berlakon dengan songkok dan kopiah, atau bersampin dan berbaju cekak musang, sanggup diserah segala yang disayang dan dimiliki konon sebagai tanda amat merai dan memberikan mesra.

Walau segala akhirnya terbukti juga bahawa tidak lain segala itu hanyalah pura untuk menjerat hati manusia yang bernama Melayu untuk memberikan percaya dan ikhlasnya.  Sehingga akhirnya, segala tergadai dan menjadi milik orang lain.

Biarkan andai masih mereka ingin terus menjadi leka dan alpa. Aku akan tetap berkata dan berbicara juga. Dan setitis air mataku akan tiada walau apa pun diperbuat oleh mereka yang  hanya sekejap diberikan kerusi bernama kuasa. 

Kerana aku tahu, bila tiba waktunya, akan kupergunakan juga apa yang kumiliki sebagai warga di tanah merdeka.

Jangan diperkira segala boleh terus dibiarkan menjadi kesewenangan dan setiap orang boleh terus diperbodohkan bagai seekor lembu.  

Hari ini, siapa sahaja, berlagak dan berlakonlah sebagai apa sahaja. Namun akhirnya, akan terserlah juga segala bukti yang benar.

Dan kalau masih kalian tidak mahu sedar dan masih tega berpelok mesra dengan para biawak dan anjing, berpeloklah, bermesralah dan teruslah serlahkan keserakahan dirimu walau kau lindungkan atas nama moral dan ilmu, kerana segala yang palsu akhirnya akan diketahui orang juga.

Atas nama adab, sopan dan segala yang sejenisnya,  marah dan hamunlah aku kerana segala kata dan perbuatanku.

Tetapi, aku peduli apa. Kerana aku tahu dan sedar segala yang  kalian atau kau lakonkan,  walau kerananya  maruah bangsa sendiri dikencing serta dinajisi, namun tetap kalian atau  kau teruskan juga tidak lain semata demi perut dan kepentingan sendiri.

Februari 11, 2011

Ahad, Februari 06, 2011

KAU DIAM, SUDAHLAH



KALAU tidak tahu hujung pangkal kisah dan perkara,  tidak payah kau hendak menyebok masuk campur. 

Aku hendak menjerit memekakkah,  aku hendak mencarut dan memakikah, apa sangat hendak kau ambil peduli. 

Ini urusan aku sendiri. Kau pergilah uruskan segala masalah  kau  dan tidak perlulah hendak menyebok  sangat  mengenai hal dan perkara  orang lain yang sama sekali  tidak bersangkut dan berkait dengan dirimu.

Macam aku kata tadilah. Kalau kau tidak faham dan tidak tahu apa hujung kisah dan perkaranya tidak payahlah kau hendak menyebok masuk campur. 

Bukankah kau itu orang yang kononnya suci bagaikan wali?  Jadi apa perlunya hendak kau ambil peduli segala benda dan perkara yang kau sendiri caci dan benci?

Pergilah kau bergebang,  berlabun dan bergabung sesama kaum yang sesama  bermahligai nun jauh tinggi di angkasa itu. Janganlah hendak kau ambil peduli  segala yang  diperbuat oleh insan lain yang kau tuduh kononnya tidak berhemah lagi berpekerti tinggi seperti diri kau yang berlagak suci bagaikan wali.

Kalau kau hendak diam dan berwirid sampai ke pagi, silakanlah. Kalau kau hendak mengangguk dan mengucap syukur sepanjang detik dan waktu, silakanlah. Tidak langusng hendak aku menegor serta melarang. 

Tetapi aku tidak akan terus menunduk, membisu dan diam semata-mata kerana mahu dianggap dan disanjung bagaikan wali ketika kepala maruah bangsa dan bahasaku dikencingi  oleh silahnat dari negeri di atas angin.

Tidak sedikit pun aku akan berasa perlu untuk mengambil tahu  serta menegor segala bodohmu. Ketika kau memilih untuk berpelok mesra dengan mereka yang sedemikian rupa.  Mereka yang dahulunya datang meminta belas dan kini setelah berasa kian gagah dan kukuh kaki berpijak, kembali menggigit dan menghamburkan kencingnya sesuka hati ke muka maruah bangsaku.

Biarlah kau terus berenang di lautan bodohmu dan janganlah kau hendak berkhotbah dan menyebok dengan segala fatwamu hendak mencaci serta mengeji aku.  Kalau memang itu pilihmu hendak berbaik dan bersahabat dengan mereka yang lakunya bagaikan anjing itu, silakan dan apa hendak aku peduli.

Seperti kukatakan tadi. Kalau kau tidak tahu dan faham punca dan pangkal segala benda serta perkara baiknya kau diam sahaja sudahlah.

Ya, baiknya,  kau diam sahaja. Sudahlah.

Februari 5, 2011

Khamis, Februari 03, 2011

MEMANGLAH KAU ANJING


KETIKA kau berkata ada anjing yang terus menyalak tidakkah kau sedar bahawa kau sebenarnya memang pun anjing.

Kerana begitulah sifat seekor anjing. Waktu dan ketika  sedang  lapar dan tersepit,  kau buatlah muka sedih dan merayu-rayu minta dikasihan. Ketika badan anjingmu dipenuhi panau dan kurap, kau datanglah merayu dan memohon belas agar tubuh kurap dan berpanau milikmu dibersih serta dilangir dari segala penyakit dan kotoran.

Tetapi apa selepas itu? Tentulah tidak perlu hendak diperpanjangkan cerita kerana segala dan semua sudah menjadi jelas dan nyata bagaimana kau punya angkara.

Kaulah punca segala salakan bermula. Segala kebaikan yang diberi kau balas dengan tuba dan mereka yang pernah menghulur tangan sahabat, kini bukan setakat kau gigit, tetapi kepalanya kau kencing dan lemparkan najis juga.

Memang demikianlah dasar kau anjing. Kau gigit tangan yang pernah membuka pagar rumahnya untuk kau masuk dan tumpang berteduh dari tempias hujan. Kau kencing kepala mereka yang menerima kau sebagai sahabat dan najis anjingmu kau lemparkan ke muka siapa yang pernah membersihkan kurap dan segala panau di tubuhmu.

Kalau kau katakan tidak faham atau mengerti memanglah aku tidak berasa aneh atau hairan. Kerana memang pun demikian sikap kau. Walau berkali sudah dijelas dan diberikan penerangan tetapi kerana  sombong dan angkuhmu manalah hendak kau membuat menjadi faham.

Ketika kecil dan belum faham kau datang dan buat muka baik konon hendak berkawan serta bersahabat. Tetapi sejak mula dahulu aku sudah  dapat agak siapa kau yang sebenarnya.

Sebab itulah sudah sejak dahulu di dalam pepatah lama bangsaku ada menyebutkan suatu kisah mengenai bagaimana sudahnya jika  melepaskan anjing yang tersepit. 

Dan anjing itu memanglah diri kau. Sebab dan kenapa aku katakan begitu?

Apa lagi jawapannnya kalau bukan kerana kau memangnnya anjing. Seekor anjing yang bertopengkan manusia. Dan janganlah kau lupa kalau kau katakan orang lain adalah anjing maka kau juga sebenarnya anjing. Anjing yang dengan sombongnya tidak pernah mahu sedikit pun mengenang kebaikan orang lain.

Memang kau sebenarnya anjing. Anjing yang tidak sahaja mencari fasal dan mencari gaduh tetapi lebih hina dan menghinakan ketimbang seekor anjing yang sebenarnya.

Kerana, anjing yang memang pun sejak azali memanglah dilahirkan sebagai seekor anjing tetaplah dengan laku anjingnya tanpa berselindung di sebalik topeng apa pun. Jika ingin menyalak, menyalaklah dia sebagai seekor anjing dan tidak sedikit pun berpura atau berselindung kerana sebab dan maksud yang lain.


Tetapi kau?   Betapa lebih hina dan menghinakan  melebihi sifat seekor anjing lagi, bila tanpa malu dan silu, kau pijak kepala orang lain konon atas nama kebenaran. Walhal jangan kau sangka orang tidak tahu maksud dan hasrat sebenar dirimu bahawa  segala yang kau kejar adalah tidak lain cita-cita hendak menjadi tokoh terpandang dan sanjungan. 

Kau katakan ada orang lain menyalak bagaikan anjing tetapi kau pura-pura lupa bahawa diri kau sendiri memang pun seekor anjing.

Dan aku? Janganlah kau kisahkan apakah anjing atau tidak. Sebabnya, kalau kau sebagai anjing boleh menyalak dan menggigit, aku pun boleh juga kembali menggigit diri anjing kau itu lebih dari segala salakan atau gigitan anjing kau.

Februari 3, 2011



Sabtu, Januari 29, 2011

MEMANG POKEMAK DIA


NANGIS? Buat apa? Memang kelakarlah. Lepas nangis, nangis lagi. Nangis lagi. Nangis lagi. Sudahnya apa? Satu apa pun tiada juga.

Segalanya sudah jelas dan nyata sejak  dulu. Tetapi apalah punya bodoh. Buat tidak tahu dan tidak faham juga.

Sekarang bagaimana? Masih tidak tahu dan faham juga? Atau pura-pura buat  tidak nampak.  

Itulah. Memang dasar pokemak dia. Dan kita pun marilah  kembali melakonkan sandiwara berikutnya. Gaduh, gaduh, gaduh. Kutuk, kutuk, kutuk. Benci, benci, benci. Sesama sendiri pantang tersentuh sedikit, marah dan melentingnya bukan main. Tapi kalau bukan sesama sendiri? Woi, angkat dan pujinya bukan main melangit.

Sekarang apa sudahnya? Tidak perlu lagi sudah terang dan hendak pula bersuluh-suluh. Mula datang dahulu, kaulah yang bela dan pelihara dia. Sekarang dia jugalah yang kencing atas kepala kau.


Itulah. Kalau sekarang pun masih buta dan tidak tahu, itu kau punya suka hatilah.

Memang pokemak dia.

Januari 28, 2011


Selasa, Januari 25, 2011

SELEPAS ITU?


PENGHUJUNGNYA,  ternyata yang disebut dan ingin dibuktikan tidak lain hanyalah segala perkara dan benda mengenai kebodohan dan apa yang didakwa sebagai kepicikan pemikiran orang lain.

Apa masalah dengan dia? Tentulah dia sendiri yang lebih tahu. 

Sepuluh jong yang masuk, anjing bercawat ekor juga. Bertempik dan berteriaklah, namun segala yang sedang diludah dan dikencingi orang tetap diludah dan dikencingi juga.

Segala topeng dan dalih juga dperguna.  Gelar sebagai pejuang dan pembela,  atas nama  kebenaran dan maruah, memang selalu membuat seorang manusia yang walau sebenarnya hanyalah seekor cencorot berjiwa kecil dan hamba serta penjilat, terpandang dan disanjung tinggi.

Namun tiada siapa akan selamanya bodoh dan boleh diperbuta mata dan hati pertimbangan nuraninya.

Segalanya, hanyalah lakon yang dipertontonkan dan hakikat sebenar disembunyikan dengan dalih hujah dan khutbah demi khutbah: Akulah yang lebih tahu serta suci dan sesiapa yang tidak sejalan atau bersetuju dengan pendapatku adalah manusia bodoh dan bahlol.

Segala keberanian, ditunjuk serta dipamer, bukan pada tempatnya. Bangsa sendiri dijadikan musuh dan pelempias benci dan orang lain disanjung, dinobat serta dipuji-puji, kerana  itu mendatangkan laba mengikut kehendak di hati.

Silakan kalian di jalan pilihan dan saya sudah sejak lama memahami itulah sebahagian resam makhluk yang bergelar manusia.

Apakah saya bersedih?

Oh, tidak. Saya malah sedang dengan hati yang sangat bergumbira memperhatikan segala. Dan apa selepas itu? 

Perlukah soalan itu dijawab? Saya sudah sejak lama memiliki  jawapannya sendiri.

Januari 25, 2011

Sabtu, Januari 22, 2011

WOW, HEBATNYA. MEMANG PUKEMAK


SELAGI boleh berkhutbah, berkhutbahlah. Kalau negeri, bangsa dan bahasa milikmu dikencing dan dinajisi, pedulikan apa. 

Pokok yang penting asal kau  dapat dan boleh terus berkhutbah.  Dan untuk serta kerana itu, jangan sesiapa pandai dan berani-berani hendak menegor. Nanti tidak semena-mena pula kena marah dan sindir.

Wow, hebatnya. Begitulah namanya orang bijaksana dan cerdik. Orang selain diri kau apalah pandai dan tahu. Semua mereka bahlol dan tolol belaka. Lainlah kau.

Kalau halaman rumah milikmu dilempar najis babi dan anjing pun duduklah diam-diam dalam rumah dan jangan luahkan marah. 

Kalau di wajah bahasa milikmu yang kononnya penuh dengan segala kesantunan itu dilempar orang dengan cat berwarna merah, pun janganlah berkata apa-apa. Duduklah diam-diam dan carilah kata-kata baru yang lebih berhemah dan sopan untuk melanjutkan khotbah.

Wow, hebatnya. Hebat. Ha. Ha. Ha. Memang pukemak.

Januari  22, 2011

Khamis, Januari 20, 2011

SUKA HATI AKULAH


KENAPA ? Masa aku tengah kebulur dahulu adakah kau datangkan apa-apa bantuan? Tiada kau pun tidak apa-apa. Hidup dan mati aku bukan kerana ketentuan kau. Begitu juga dengan rezeki dan pendapatan.

Suka hati akulah. Kau tidak payahlah hendak jadi penyebok.   Atau hendak berlagak bagaikan kau itu wali atau nabi. Cukupkah hanya dengan lagak dan lakon kau itu sahaja? Sedangkan,  di tengah dunia yang semakin diramaikan oleh kera dan babi ini maruah bangsamu semakin dikencing dan dinajisi .  

Apa aku hendak peduli mengenai kau.  Tanpa kau,  aku ada yang lain melebih segala kau.  Dialah yang berhak dan berkuasa menentukan hidup dan mati diriku. Dialah segalanya bagi diriku.  

Kau? Apa aku kisahkan.   Suka hati akulah.

Januari 20, 2011

Isnin, Januari 17, 2011

WOW, KASAR DAN MARUAH


WOW


WOW. Hebatnya. Berkumpul dan berhimpun sambil bertempik dan berteriak-teriak. Wow. Memang hebat. 

Ada tidak apa-apa yang tercicir dan tertinggal untuk dipijak, dikencing serta dibakar lagi?  Kalau semua sudah ada dan cukup, baguslah. Tidak perlulah hendak buang masa banyak kali dan berulang-ulang buat benda dan perkara yang sama: bertempik, membakar dan memijak-mijak.

Wow. Memang hebat.

Inilah namanya perjuangan. Inilah namanya kesetian atas nama maruah dan bangsa.  Yang mesti dipertahankan kesuciaan serta kemuliaannya. Jangan sama sekali dibiarkan sesiapa pun mempermainkan dan memperkutak-katikkannya, walau atas nama apa pun.

Wow. Memang hebat sungguh semangat yang ditunjukkan sedemikian rupa. Yang sanggup bertempik dan berteriak-teriak begitu dan lebih-lebih lagi bila sanggup pula membakar juga  buku dan gambar yang tidak bernayawa apa-apa.

Wow. Wow. Hebat sungguh.

Tidak mengapalah kalau perbuatan bertempik dan membakar segala macam benda yang tidak bernyawa begitu menampak bodohnya diri yang berbuat itu.  Pokoknya itulah namanya setia dan perjuangan. Yang selain itu pedulikan apa.

Wow. Memang hebatlah pemimpin yang mempunyai pengikut yang sedemikian rupa. Itulah namanya pengikut yang setia. Kalau nanti disuruh terjun ke lubuk dihuni buaya pun mereka sanggup, memanglah hebat namanya.

Wow. Hebatnya. Wow.

 KASAR

MEMANG kau ini  tidak sudah dengan mimpi dan angan. Kalau hendak jadi wali atau berlagak nabi janganlah dengan aku. Aku benci dan meluatlah. Sudahlah. Jangan hendak berlagak dan berlakon di hadapan aku. 

Macam aku cakap tadilah. Aku rasa benci dan meluatlah sangat dengan segala lagak dan lakon begitu. Janganlah kau fikir atau sangka orang tidak boleh agak dan tahu. 

Bukan semua manusia ini sangap, bodoh dan bangap seperti yang kausangkakan itu.  Apa-apa yang cuba kau lagak dan lakonkan, yang tidak zahir dengan jujur serta ikhlas dari lubuk hati kecilmu sendiri, orang boleh agak dan terka juga  lama kelamaan nanti. 

Jadi sudahlah. Tidak payahlah hendak terus berlagak dan berlakon lagi. Terutamanya bab bahasa, kata-kata dan adab laku ini. Tidak payahlah kau hendak buat-buat sebok bab itu, terutamanya hendak mengeji dan menasihati aku, konon.

Tahu kaucakap dan bezakan yang begitu kasar dan yang demikian tidak beradab. Tetapi kau itu beradab dan berbudi bahasa sangatkah? Itu cuba kaujawab dahulu sebelum menuduh dan menuding orang lain.

Ketika orang mengucapkan salam tetapi kau palingkan muka kau ke arah lain itu beradabkah namanya? Atau kerana kau rasa diri kau itu bertaraf wali atau nabi maka tidak semua orang layak kaujawab salam dia?

Aku tidak mahu kata kau mesti begitu dan begini. Apa yang hendak kau lagak dan lakonkan,  itu hal kau sendiri punya hal. Aku apa peduli.

Sama jugalah halnya dengan diri aku sendiri. Apa kau peduli kalau apa aku cakap ini kasar atau tidak.

Kalau kau boleh terus menerus berlagak wali dan nabi, walau kepala maruah kau sudah kena kencing ratusan kali, itu kau punya sukalah.

Tetapi kalau dengan aku, maaflah. Aku tidak akan diam dan terus menerus berlagak seperti lembu kenyang.

Kalau kau hendak terus membisu dan diam, semata-mata kerana takut tidak sama mendapat habuan dan projek, itu juga aku tidak mahu ambil peduli.

Cuma, di pihak diri aku, aku hendak beritahu kepada kau, tidak perlulah kau hendak berlagak nabi dan wali datang memberikan nasihat bab penggunaan kata dan bahasa ini.

Apa aku hendak cakap, aku punya sukalah. Aku peduli apa kau ada gelar apa pun. Apa lagi kalau dengan gelar-gelar  itulah maka kau perbodohkan banyak orang yang tidak tahu tentang siapa diri kau yang sebenar itu.

Sudahlah. Aku sudah benci dan meluat sungguh melihat lakonan kau itu.  Sudahlah. 

Apa lagi kalau hari ini tiba-tiba kau berlagak sepertilah kau itu seorang hero dan pejuang yang sanggup bermatian-matian memperjuangkan sesuatu atas nama maruah.


MARUAH

MARUAH? Heh. Maruah apa? Maruah siapa?

Kenapa tidak kau cakap sahaja berdepan-depan. Kalau ada yang sanggup beri kau apa-apa projek yang boleh mendatangkan habuan lumayan, pasti kau tidak akan ambil peduli suatu   apa pun.

Maruah. Kelakarlah. Baru hari ini kau tahu dan pandai bercakap soal maruah? Sebelum ini , kau selalu bercakap mengenai apa? 

Hah. Bukankah kau selama ini hanya diam dan membisu di dalam kepompong selesa kau?

Kelakarlah.

Januari 16, 2011

Selasa, Januari 11, 2011

APALAH BODOHNYA

BIARLAH kaukata aku tiada punai. Punai aku sudah terbang . Punai aku sudah  hilang. Aku peduli apa. Ada atau tiada,  itu cerita dalam kain aku.  Apa kisah yang kau orang hendak ambil peduli sangat?

Kalau kau rasa hendak berteriak dan bertempik semata-mata kerana cerita punai itu, lantaklah. Berteriak dan bertempiklah.  Aku tidak mahu ambil peduli juga. Berteriaklah. Bertempiklah. Punai! Punai! Punai! Punai!

Ha. Ha. Ha. Ha. Ha. Apalah punya bodoh sangat kau orang ini. Soal punai orang lain pun hendak sebok dan bising sana dan sini. Punai punya kau bagaimana pula? Masih ada dan selamat lagikah? 

Macam orang selalu katalah. Masing-masing kubur, masing-masing jagalah.  Begitu jugalah dengan soal punai ini. Aku punya, akulah yang jaga. Kau punya, kaulah yang jaga.

Hah, sudah itu? Janganlah jadi bodoh dan bangang menyusahkan diri hendak bertempik dan berteriak semata-mata kerana  soal punai di celah kelangkang milik orang lain itu.

Dan kalau kerana punai itu pun mereka sanggup menjadi si bodoh lagi bahlol memarahi  angin dan laut  serta tidak semena-mena membakar buku -buku, itulah lagilah amat bodoh dan  bahlolnya.

Woi. Ini apa  masalahnya? Kalau memang sudah rasa di celah kelangkang itu punai milikmu juga sudah tiada, duduklah sahaja diam-diam di dalam kamar dan jangan pula hendak alihkan rasa bengang dan kecewa kau kerana tidak dapat bermain punai itu dengan pelbagai macam laku dan perbuatan bodoh, misalnya dengan tidak semena-mena membakar buku milik orang lain. 

Sudahlah. Janganlah ambil pedulikan kisah orang lain. Masing-masing jagalah punainya sendiri. Dan kalau aku juga sudah tidak memilik punai, itu apalah kau punya peduli?

Apalah bodohnya kau ini.

 Januari 11, 2011 

Isnin, Januari 10, 2011

PUNYALAH BODOH


BEGITU punya banyak kisah dan cerita di dalam dunia. Masih juga kisah mereka hendak ditulis dan dikarang. Konon hendak tunjuk dan tayang punyalah pandai dan pintar kau mengait dan merendakan ilham yang memang benar-benar memijak bumi nan nyata.

Sudahlah. Pergi mampos sahajalah. Tidak payahlah hendak bersusah dan berpayah berkisah dan bercerita mengenai mereka. Apa dalam kain bangsa kau sendiri sudah habiskah segala kisah?

Punyalah bodoh.  Cerita bangsa kau sendiri kau lupa-lupakan. Alih-alih kisah orang lain yang kau sebok hendak karang dan ceritakan.

Apa ke jadah faedah dan gunanya? Janganlah kau jadi bangang dan bodoh. Konon hendak berbaik dan mengenal orang lain. Untuk apa? Kalau setakat hendak mendapat pujian konon  kaulah penulis dan pengarang hebat yang sangat terbuka dan mengenal dunia orang lain, sudahlah, pergi mampos lagi baik.

Janganlah asyik hendak menjadi pengampu setiap masa. Renung dan cerminkanlah wajahmu di cermin maruah bangsamu sendiri.

Sedarkah tidak betapa sudah sekian lama diperludah dan kencingi oleh pihak lain?

Januari 9, 2011

Rabu, Januari 05, 2011

2011 DAN PERGI MAMPUS


SEBUAH SAJAK

Walau sendiri
tetapi sudah kutahu pasti

Di dalam diam
segala kuredam

menjadi Matahari
...................
Januari 4, 2011

PERGI MAMPUS

KUPILIH dengan diam meredam bosan dan rasa benci di dalam hatiku sendiri. Aku lebih senang begini. Pergi mampuslah dengan kroni atau simpati. Silaplah kalau disangka setiap orang boleh diperbodoh dan dipergunakan setiap masa. Maaflah. Aku tidak ingin bersekongkol.  Kerana aku sudah sejak lama memilih hidup sendiri.

Januari 4, 2011

Ahad, Disember 26, 2010

KETIKA BERTAMU

Sajak MARSLI N.O

Kurai kau sejujur hati
kerana begitu adab
atas nama Melayu
dan rasa manusia
yang mendidik sopanku

Walau kutahu kau selalu
datang dengan keduk
dan ramah yang palsu
namun tetap kau
kupanggil sahabat
walau kaumiliki hati bejat

Kerana aku tahu siapa diriku
tidak luntur kerana umpat 
atau  berkali kejimu
yang kau sunglap konon sebagai nasihat

Disember 26, 2010.

Jumaat, Disember 24, 2010

SILAKAN BERLALU

Sajak MARSLI N.O

Aku sudah memilih
wilayah dan negeriku
Walau asing dan berbeza
di jalan sendiri  pilihku

Silakan kau berlalu
sahabat dan pemuji yang palsu

Kerana aku tidak ingin
seiring denganmu
berkoar dengan 
berani yang palsu
dan dayusmu kausorokkan 
dengan hujah dan dalih
hanya untuk memilih
jika mendatangkan laba yang lebih

Silakan berlalu
para pemilik berani
dan pilihlah sejuta syahid
besar atau kecil
seperti  kauingini

Walau nanti andai matiku
kau anggap hanyalah
sebatang bangkai
aku tidak pernah ingin peduli

kerana kutahu
Hisab siapa jadi penentu
dan bukan di mulut si cabul
atau pengucap yang suka menipu
seperti dirimu

Silakan berlalu.

Disember 24, 2010

Rabu, Disember 08, 2010

SELEPAS KOREA

SAYA sedang dalam proses kembali menuetralkan  perjalanan darah di dalam badan.  Berdepan dengan kesejukan yang agak melampau di sana, bagi sebatang jasad kerdil yang sentiasa hidup di iklim panas, memang mendatangkan serba sedikit sampingan, seperti flu dan kurang sedap badan.  Tetapi ini pun memang dugaan yang sangat kecil dan saya mengucapkan syukur kepada Ilahi yang sentiasa melindungi diri saya ketika di sana.

Terutamanya, kerana saya berasa, sepanjang di sana, saya masih tetap hadir sebagai manusia dan bukan sebagai yang selainnya.

Saya ingin mengucapkan terima kasih buat sahabat yang sudi mendoakan keselamatan saya sepanjang di sana dan juga bantuan mereka yang lain.

Saya akan menulis lebih lanjut. Flu ini agak sedikit mengganggu.

Disember 8, 2010

BECOMING
BECOMING merupakan  antologi puisi para penyair yang menyertai Korea-Asean Poets Literature Festival di Korea pada 2 hingga 6 Disember, 2010 yang lalu. Antologi ini memuatkan puisi hasil karya 13 penyair dari 8 negara di Asia dan  20 penyair dari Korea.

Setiap penyair menyumbang empat puisi, yang berupa dua sajak yang dimuatkan adalah karya lama para penyair dan dua lagi merupakan puisi yang baru.

Puisi-puisi yang dimuatkan di dalam antologi ini, selain terjemahan dalam Bahasa Inggeris, juga disertakan dengan terjemahan di dalam Bahasa Korea.

Sedikit berasa bangga, karya puisi dari penyair Malaysia yang turut  diundang menyertai acara ini, Rahimidin Zahari dan saya, didahulukan sebagai pembuka halaman.

Puisi saya yang dipilih  ialah "Membaca Sandiwara", "Sia-Sia", "Di Kamar Sendiri" dan "Sajak Politik Haloba" yang telah disiarkan  dengan terjemahan Inggerisnya sebagai "Reading A Play", "In Vain", "In a  Room of One's Own"  dan " Avaricious Politics Poem".

Rahimidin Zahari pula tampil dengan puisinya "Sufi", "Kebebasan", "Omadal" dan "Rahwana."

Disember 13, 2010

Selasa, November 30, 2010

SAYA DAN PUISI: DARI TEMPAT LAHIR, HASRAT DAN TUJUAN

Oleh MARSLI N.O *

DUNIA masa kecil saya adalah sebuah perkebunan yang dihuni pelbagai bangsa manusia. Dunia itu kecil dan agak suram tetapi penghuninya hidup dalam suasana tenteram. Di situ saya lahir dan mengenal manusia  yang hampir senasib: miskin, kerdil dan kurang berpendidikan.

Tetapi saya tidak ingin mempersalahkan takdir kerana situasi yang sedemikian rupa. Saya tahu, banyak negara yang pernah dijajah mengalami nasib yang hampir sama dan serupa.

Di dunia kecil itu, ketika dilahirkan, saya menjadi Melayu kerana bapa dan ibu saya adalah Melayu.

Dan kini, saban tahun, tidak  begitu payah mengingat peningkatan usia saya kerana tahun kelahiran saya adalah  sinonim dengan tahun kemerdekaan negara saya.

Saya percaya dan mengerti. Kemerdekaan sebuah negeri bermakna rakyatnya bebas untuk menentukan arah dan hala pemerintahan negaranya sendiri. 

Tetapi dalam erti kata sebenarnya, apakah tidak mungkin lahir pula penjajah dalam bentuk baru yang ingin menguasai dan membentuk pemikiran rakyat agar selalu tunduk dan bersetuju. Apa lagi bila kuasa menjadi boneka dan siapa yang menguasai dianggap nabi atau wali yang tidak boleh tidak mesti dipercayai segala suruh dan perintahnya.

Kesewenangan dan sikap autorithan yang membelenggu rakyat akhirnya memburamkan wajah dan makna sebenar kemerdekaan yang selalu dicita-citakan manusia, kemerdekaan berubah menjadi utopia dan sia-sia.

Di sebuah negeri yang merdeka, nilai dan harga seorang manusia bukan hanya kerana perutnya telah sendat berisi tetapi sekaligus juga soal bagaimana otaknya diisi dan nilai-nilai kemanusiaan, hak berpolitik dan berbudayanya  juga perlu turut sama diperhitung.

Buat diri saya, kerana tidak mahu sekadar menjadi manusia yang sibuk menguruskan perutnya semata-mata, saya dengan yakin telah memilih menjadi penyair.

Walau saya tahu, menjadi seorang penyair di sebuah negeri yang sedang sibuk dan ghairah untuk menjadi maju, tidak memungkinkan saya menjadi kaya atau selalu disenangi, saya tetap juga menulis dan membacakan sajak-sajak saya.

Saya tidak peduli kalau dianggap manusia yang suka nyentrik dan syok sendiri. Apa lagi kalau seorang penyair seperti sering tidak diacuhkan di negerinya sendiri. Saya memilih untuk tidak meminta tetapi selalu ingin memberi. Diterima atau tidak, tidak pernah membuat saya berputus asa.

Sebagai individu Melayu yang menulis sajak, saya sentiasa menjunjung tinggi nilai kesejagatan dan  menentang sebarang bentuk kekangan yang bobrok dan yang bukan pada kewajarannya.

Di mata saya, setiap manusia adalah sama dan saya sentiasa ingin mengenal serta  bersahabat dengan mereka.  Dan sebagai penyair Melayu di benua Asia, saya selalu berharap agar sajak-sajak saya menjadi jambatan persaudaraan tanpa kenal batas dan sempadan.

Tetapi  menjadi Melayu, buat diri saya, adalah hidup yang selalu berdepan dengan perjuangan  serta dilema. Sebagai manusia Melayu, sejak kecil saya dididik  agar selalu besikap sopan, menghormati orang yang lebih tua dan berkuasa.

Menjadi manusia Melayu juga bermakna saya mesti selalu berbicara dengan bahasa yang merendah dan tidak membentak. Dan agar tidak sampai dianggap kurang ajar, saya mesti selalu berusaha menjadi manusia Melayu yang patuh terhadap norma dan susila ini.

Namun pada akhirnya, saya mesti memilih hala dan arah kepenyairan saya secara sendiri: bersikap berani dan memilih untuk selalu berpihak kepada kebenaran. 

Sebagai penyair  yang lahir dari sebuah dunia kecil dan suram, saya tidak ingin bersekongkol dengan sikap suka berbuat sekehendak hati atas nama politik, yang secara langsung mahupun tidak selalu memangsakan rakyat kecil dan tidak berdaya.

Kerana itulah, saya memilih untuk berteriak dan membentak melalui sajak-sajak saya. Tidak mengapa andai saya dianggap penyair yang kurang ajar dan suka membuat onar semata-mata demi sesuatu yang saya yakini sebagai hak dan benar.  Khususnya untk mereka yang tidak mampu bersuara dan selalu dihenyak kerana kekecilan dan kekerdilannya.

Walau saya tahu teriak dan bentak saya, lewat sajak-sajak saya, tidak akan mungkin menggoyahkan sebuah gunung yang kukuh, namun setidaknya, saya sudah bersuara menyatakan sesuatu yang benar dan hak.

Walau apa dan bagaimana sekalipun,  saya sudah melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya sebagai seorang manusia yang kebetulan dianugerahi Tuhan kebolehan sebagai penyair.

 Ogos 28, 2010

* Esei untuk forum di acara Korean-ASEAN Poets Literature Festival


POEM AND I: FROM BIRTHPLACE, DESIRE AND AIMS
By MARSLI N.O

MY childhood world was a rubber plantation resides by variety of people. That world was small and quite gloomy, but the residents live peacefully. I was born there and got to know the people who shared the same fate: they were poor, inferior and quite illiterate.

But I do not want to blame fate for that kind of situation. I am fully aware that for most countries that had been colonized , they probably share almost similar fate.

In that small world,  I was born as a Malay because my parents are Malays.

And now, for each passing years, I never have difficulty to recall my age as I was born on the same year of my country’s independence.

I do believe and understand. A nation’s independence means the people are free to determine its course  and direction according to their will.

However in reality, it is possible that new form of colonialism  will try to invade the mind of the people so that they will obey and acquiesce? This is when power dominates everything and serves like a puppet. The puppeteer gains absolute power and control as the followers follow  and obey their order with an alacrity to obey the saint and the prophet. 
 
All these will spark authoritarian attitudes and rash decisions that violate individual liberties that sooner or later, will diminish the true meaning of independence that the people dream off. In the end freedom is nothing but an utopia.

In a free country, a person’s dignity does not lies solely on the matter of feeding one’s  stomach. Yet, how he feeds his brain with human values, political rights  and  culture should also be taken into consideration.

As for me, I’ve confidently decided to be a poet since I dont want to be a person who is merely engrossed in feeding hiw own stomach.

Even if I knew, in a country that is so passionate in becoming developed nation, it is impossible for a poet like me to become rich or gain any public admiration. But still, I will write and contine to recite my poem.

I don’t care if  I will be considered as eccentric or self-absorbed. Especially when a poet often is a public oblivion in his or her own country. I choose not to ask but instead always giving. Whether it is accepted or not, it will never bring me down.
 
As a Malay who writes poem, I always uphold universal values and resist any form of  limitation or corruption which inappropriate.
 .
From my perspectives, every human is equal and I will always want to know and befriend them. And as a Malay poet in Asian region, I always hope that my poems are building a foundation for friendship that has no boundaries.

But to be a Malay, it is for me, a kind of life that faces constant struggles and dillemas. As a Malay, I was taught to act in decorous manners and to respect the elders and those with influence.

Becoming a Malay means I must always speak with humilty and without raising my voice. And so that I won’t appear rude, I must always  try to become a Malay that conform to these norms and ethics.

Yet in the end, I must choose my own path as a writer: which is being bold and always uphold the truth.

 As a poet, who was born from a confined gloomy world, I wont tolerate political actions which intentionally or unintentionally victimise the opressed.
  
For these reasons, I choose to shout and snap through my poems. It does not matter for me if I am being label as a punk who incite chaos for voicing out something that I believe as true and appropriate. Especially voicing out for those who are not able to speak up and have always been marginalized just because they are the minorities and inferior compared to the rest.

Through my poems, I am fully aware that all the bursts and contstant outcries might not even melt a sturdy mountain, but at least I have voiced things which are true and rightly appropriate. 

No matter what and how it is, I have fulfilled my responsibility and duty as a human being that is coincidently gifted by God with the talent of a poet.

 Ogos 28, 2010

Translated by Marziah Ramli.

Isnin, November 29, 2010

HADIAH SASTERA DAN SAYA: KALAU SAYA MARAH AWAK PEDULI APA


PETANG semalam, seorang teman menelefon bertanyakan apakah saya ada menerima apa-apa jemputan menghadiri suatu acara pengumuman hadiah sastera. Kerana memang tiada saya menerima sebarang jemputan sama ada melalui surat atau telefon, maka tiada jugalah jawab saya terhadap tanya teman itu.

Hari ini, 29 November 2010, akhbar Berita Harian di ruang sasteranya, menyiarkan tulisan Nazmi Yaakob yang antara lain menyebut kumpulan cerpen saya "Menanti Buraq" antara karya yang dibawa ke peringkat akhir penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009.

Usai membaca tulisan Nazmi ini, saya sekejap tercenung memikirkan betapa bagi tahun penilaian 2008/2009,  saya juga memiliki sebuah  buku kumpulan sajak "Kepada Angin Juga" yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2008. Jadi, berdasarkan tulisan Nazmi itu, kerana tidak disebut beliau dalam tulisannya, maka ini bererti kumpulan sajak saya itu memang tidak layak untuk dibawa ke peringkat akhir penilaian.

Sebenarnya, ada atau tidak, diberikan hadiah atau tidak, saya akan tetap juga terus menulis karya demi karya mengikut kehendak dan pilihan saya sendiri. Atau kalau misalnya ada karya saya yang kemudiannya dinilai dan diberikan hadiah, hadiah itu tidak akan pula saya tolak.

Namun, untuk sampai ke tahap terlalu mengharap-harap agar diberi hadiah dan menulis semata-mata kerana mahu mendapat hadiah, itu tidaklah menjadi fokus atau hasrat saya sejak dulu hinggalah kini.

Saya masih ingat,  tahun 1971,  ketika saya menggatalkan tangan mula menulis secara lebih bersungguh dan menulis sajak "Aku Anak Sisa Perang Vietnam", saya tidak sedikit pun membayangkan atau menginginkan bahawa kerana menulis sebuah atau sejumlah sajak, saya pada suatu waktu nanti akan menerima atau diberikan apa-apa hadiah.

Hasrat yang mendorong kegatalan tangan saya agar menulis sajak ketika itu dan juga sehingga kini pun, tidak lain hanyalah keinginan untuk menyatakan sesuatu yang menyentuh hati dan perasaan saya sebagai seorang penyair.  Sesuatu yang akan saya tulis dengan kehendak dan pilihan saya sendiri.

Keinginan untuk menyatakan  segala sesuatu yang menyentuh  hati dan perasaan saya itulah  yang menjadi doronganya dan hadiah bukanlah sesuatu yang diharap atau didambakan.

Saya memang ingin menegaskan dan menyatakannya di sini. Apakah akan diberikan hadiah atau tidak, saya akan tetap juga menulis. 

Tetapi sungguh pun begitu, walau pun hadiah bukanlah sesuatu yang sangat saya dambakan, jangan pula mereka di intitusi tertentu atau yang kebetulan dipilih menjadi panel sesuatu anugerah berasa diri mereka boleh berlagak sewenangnya bagaikan dewa dengan cara meremehkan karya saya dan juga karya-karya orang lain sekehendak hati mereka sahaja.

Walau sebagai penilai mereka berasa  berhak untuk menilai dan memenangkan karya siapa sahaja yang mereka suka, mengikut kehendak dan selera mereka,   walau dengan   fahaman sempit teori dan tanggapan sastera mereka yang jumud,  itu tidak bermakna saya  sedia bersekongkol merelakan perbuatan mereka begitu sahaja dan terus menerus akan berlagak bodoh bagaikan badak kelemasan di lumpur.

Walau pun misalnya saya ini memanglah bodoh dan kurang tahu, namun itu tidaklah bererti saya sampai tidak dapat membezakan antara sesuatu yang memang disengajakan  yang berhasrat ingin  menyingkirkan ke tepi  mana-mana karya yang mereka sebagai penilai  tidak menyukainya kerana tidak termasuk dalam kategori kroninya atau tidak sejalur dengan fahaman sempit teori sasteranya sendiri.

Atau katakanlah di segi karya eceran. Kalau sebuah kumpulan puisi dipilih untuk dibawa ke penilaian akhir, mustahillah kalau sebuah pun karya di dalamnya tiada yang layak  untuk dinilai bagi kategori karya eceran?  Begitu juga dengan kumpulan cerpen atau drama.
 

Tetapi seperti selalu memang begitulah. Walau sudah bertalu tegoran dan pandangan dilontar, reaksi dan perubahan yang positif tetap tidak juga kelihatan terjadi. Panel penilai atau pihak yang menguruskan urusan memberi hadiah ini akan berteguh dengan prinsip setiap penilaian adalah muktamad dan tidak akan merubahkan apa-apa.

Lagak dan angkuhnya mereka selaku penilai dan pegawai yang menguruskan tidak ubah  bagaikan dewa yang bersemayam di mahligai nun jauh di angkasa raya. Di mulut mereka segalanya adalah kata pemutus. Dan sesiapa yang cuba melawan atau kembali mempersoalkan, bersiaplah untuk menerima padahnya.


Seolah-olah, atau mereka ini, dengan sengaja buat lupa betapa segala tugas  serta tanggungjawab yang diserah serta diamanahkan kepada mereka sebenarnya adalah amanah yang diserahkan oleh rakyat agar dilaksanakan sejujur dan ikhlas yang mungkin. Dan tugas itu tidak mereka laksanakan secara percuma. Untuk tugas itu, mereka dibayar upah atau gaji  dan bayaran  gajinya itu adalah  dengan duit  rakyat dan sebahagian dari rakyat itu adalah diri saya.

Saya memang tidak peduli apakah karya saya akan diberikan hadiah atau tidak.  Diberi atau tidak, saya  akan tetap terus menulis.

Tetapi cuba memperbodohkan saya dengan penilaian dan keputusan yang malah lebih bodoh dari perbuatan sekawanan lembu di padang, itulah yang saya tentang dan bangkang. Malah, bedalih untuk sengaja melengah-lengahkan mengumumkan keputusan sesuatu penilaian, dengan alasan rahsia dan belum sampai waktunya, juga bagi saya satu perbuatan yang sama bodohnya dengan perbuatan sekawanan lembu.  

Hendak dirahsiakan apa? Takut akan ada pihak yang membangkang dan buat kecoh? Atau, takut-takut  kalau diumumkan lebih awal  akan  berlaku  amukan  dan rusuhan  seperti kejadian 13 Mei? Ah, bodoh sungguh alasan sebegini.

Mereka sepatutnya berasa malu.  Tetapi seperti selalu, kebodohan sebegitu akan selalu dan sentiasa diulang-ulang.  Walau yang berbuat bodoh itu mengaku dirinya terlalu lebih dan  banyak tahu dari semua pengetahuan yang ada di atas muka bumi.

Saya memang tidak peduli. Tetapi itu tidak bererti saya akan mendiamkan  begitu sahaja kebodohan yang kian ingin menjadi raja dan dewa, yang kini  akan berterusan saya tentang  dan lawan!

Memang pun kini. Kalau saya membentak marah, awak apa peduli? Awak tahu apa sebabnya? Sebab saya sudah bosan dan benci melihat kebodohan yang diulang berulang kali oleh mereka yang mahu berlagak dan berasa dirinya adalah dewa yang boleh menentukan hidup dan mati hayat sastera orang lain!

November 29, 2010