Rabu, Februari 29, 2012
BAHANA
Pagi itulah, saya melihat sendiri bagaimana tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman, puluhan atau mungkin belasan ribuan rakyat berkumpul menyatakan sikap dan bantahan mereka. Pinta mereka hanya ini: HENTIKAN.
Siapa sahaja yang berkepentingan boleh menuduh dan berkata saya pemimpi yang takutkan sesuatu yang sebenarnya tiada apa-apa sebenarnya. Saya tidak peduli.
Tetapi saya tidak bercakap atas atau dengan apa pun alasan politik di pihak mana pun. Bagi saya ini isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan kerana itu saya tidak ingin bercakap bertele-tele mengenainya.
Siapa sahaja di pihak sana atau di parti politik mana pun boleh bercakap atas nama kuasa dan wibawa yang mereka miliki bahawa tiada apa pun bahaya yang bakal mendatangkan bencana terhadap kehidupan saya dan mereka yang lain di kawasan ini.
Tetapi kalau itu memang benar, kenapa pula sebuah syarikat keparat itu sanggup bersusah payah datang ke negeri lain untuk mendirikan kilangnya? Kenapa tidak dirikan sahaja kilang itu di negaranya sendiri? Kenapa tidak?
Sebenarnya logik begini terlalu mudah untuk difaham serta dimengerti. Namun demi kepentingan serta muslihat yang hanya mereka sendiri tahu apakah maksud serta niat di sebaliknya, logik yang sebegini mudah pun cuba disunglap dan diputarbelitkan.
Saya tidak fikir mereka yang bergelar pemimpin di atas sana atau yang tidak berada di atas sana terlalu bodoh untuk mengerti atau langsung tidak faham apa maksud sebenar niat dan hasrat segala rayuan dan desakan yang dikemukakan oleh rakyat.
Saya tidak fikir saya terlalu bodoh untuk faham dan mengerti. Memang dari kilang itu nanti akan dihasilkan bahan yang kemudian akan dipergunakan dalam banyak peralatan seperti mislanya telefon bimbit, peralatan tertentu kenderaan dan sebagainya.
Tetapi bagaimana dengan sisa atau bahan buangan dari kilang itu? Ke mana hendak dibuang atau dihumbankan? Ke sebuah pulau atau ke sebuah negara lain yang tidak berpenghuni? Di mana? Tolong sebutkan?
Terus terang sahaja bagi saya ini semua wayang dan tipuan belaka. Untuk kepentingan sekelompok orang nyawa dan keselamatan lebih banyak manusia tega dipermainkan sesuka hati.
Sebagai seorang rakyat yang cintakan negaranya, semakin lama saya semakin berasa jemu, jelak dan bosan dengan segala permainan ini.
Terserahlah anda mahu mendengar dan berbuat sesuatu atau tidak. Saya sudah terlalu banyak secara baik, sopan dan bersantun merayu dan merayu.
Terserah.
Februari 29, 2012
Isnin, Februari 27, 2012
MEREPEK
MENULIS sahajalah. Buat apa bercerita buku itu dan buku ini yang sudah kaubaca. Itukan urusan kau peribadi sebagai penulis. Perlukah hendak dicanangkan ke seluruh negara?
Atau memang hendak supaya orang tahu betapa hebat dan rajinya kau membaca? Tidak payahlah. Kecuali untuk kau lagak dan sombong-sombongkan.
Februari 27, 2012
Rabu, Februari 22, 2012
DEJA VU
TANPA itu, apa sangat bezanya antara anjing dan manusia, atau manusia dengan anjing. Lebih aib lagi jika manusia yang dengan rela meletakkan taraf dirinya umpamakan anjing, semata-mata kerana mengejar ganjar kesenangan, pangkat serta keuntungan untuk dirinya peribadi, sehinggakan sanggup mencemarkan hakikat manusiawinya sebagai manusia.
Anjing-anjing ini semakin hari semakin banyak bercokol di kalangan kita. Bertopengkan pelbagai keduk dan gelar serta nama yang indah-indah.
Lebih berbahaya lagi tatkala mereka semakin menongol di kantor-kantor politik atau sebagai aparat yang cuba dan ingin menentukan ruang dan peluang orang lain. Malah ada pula yang dengan keduk agama serta peraturan berkoar ke mana-mana, mengaku dirinya pejuang dan pembela, yang dihalalkan segala tindak serta hamun makinya atas nama maruah dan agama.
Jika anjing yang menyalak di lorong kohong dan hanyir jelas kita kenal wajah dan keperibdian anjingnya, tetapi anjing yang selainnya selalu mudah menjerat kita yang lupa dan kurang waspada.
Februari 22, 2012
Jumaat, Februari 17, 2012
MENJADI
HANYA satu cara untuk tetap kekal menjadi manusia. Tetapi untuk menjadi syaitan dan anjing, ada banyak cara.
Februari 17, 2012
Rabu, Februari 15, 2012
MENULISLAH (1)
BISUKAN diri. Hentikan bicara. Aktifkan fikir dan imaginasi. Menulislah. Apa yang difikir dan dimaginasikan. Tanpa perlu takut kepada salah, logik atau tidak logik. Menulis. Menulis. Menulislah.
Februari 15, 2012.
Selasa, Februari 14, 2012
TAKUT
TIADA apa pun lagi yang menimbulkan rasa takut, bila mengetahui dan mempercayai tiada kuasa dan ketentuan apa pun yang mengatasi segala kuasa serta ketentuan Dia.
Februari 14, 2012
Rabu, Februari 08, 2012
KRONI
KALAU pihak lain mendapat sesuatu, kau bilang kroni. Kalau kau pula yang mendapat sesuatu, apa kau bilang? Rezeki, nikmat, anugerah, atau apa?
Dunia berputar. Perasaan hasad sesama manusia tidak berubah. Walau seribu ceramah dan khutbah dibacakan di mimbar-mimbar masjid atau di dewan seminar dan kuliah.
Februari 8, 2012
Selasa, Februari 07, 2012
BERCAKAP
KEMAREN saya ke sana. Bertemu ramai orang yang bercakap dan mahu bercakap.
Saya fikir andai mereka memilih diam alangkah lebih baik. Kerana tidak semua yang mereka cakap menjadi perkara yang perlu dan penting untuk orang lain, atau paling tidak saya, mendengarnya. Sebahagian besar mereka cuma melontar buih dan gelembong. Begitu memasuki ruang udara, ternyata kosong dan lompong.
Atau mereka ingin mempamerkan dirinya yang kosong lewat kata-kata yang juga kosong.
Rabu, Februari 01, 2012
PUNDEK LAGI
MEMANG pundek. Tambah dengan bodoh dan bangang mereka yang empunya. Konon hendak berkongsi. Walau semakin lama semakin kena ludah dan dikencingi. Memang pundek.
Februari 1, 2012
Selasa, Januari 31, 2012
Sabtu, Januari 28, 2012
TOKOH
AKHIRNYA hanyalah pengulangan demi pengulangan untuk mengisi dan memenuhkan baki waktu dan ruang yang masih ada. Kalau berhenti nanti dikatakan sudah macet, pikun dan tidak mampu. Ketakutan mendorong mereka yang kurang kukuh jiwa dan raganya, apa lagi jika kurang berfikir juga, melakukan segala sesuatu yang sebenarnya tidak perlu dan malah langsung tidak memberikan makna apa-apa.
Misalkan seorang penyair. Tidak semestinya saban jam, hari, minggu dan bulan perlu menyiarkan karya puisinya kalau yang dimuntahkan hanyalah sampah yang sangat memualkan.
Mencari kesempurnaan bukan perkara yang salah kerana kesempurnaan adalah tujuan. Tetapi bukan hanya luaran. Apalah erti dan makna andai karyanya dinobat sempurna dan menjulang ke puncak melangit, ditambah dengan pelbagai gelar hebat dan melambung, ketika perangai dan peribadi pemilik karya menyerupai haiwan dan syaitan.
Waktu tidak pernah tinggal dan diam. Usia kita yang kian menipis mengajak kita kian hampir ke tanah di mana jasad bermula.
Kita barangkali terlupa atau dengan sengaja menjadikan diri manusia pelupa. Kerana itu saling berebut dan mengejar, malah kalau perlu memijak, pijaklah kepala siapa sahaja yang dirasakan boleh dan perlu dipijak.
Akhirnya kembali kepada tanah yang itu juga siapa pun dia. Dan sebelum benar-benar tiba saat itu, kenapa kerana gelar secuil itu kita tega untuk tidak menjadi diri kita yang manusia?
Saya hanya bertanya dan memperingatkan diri sendiri. Tanpa terlalu ingin menjadi tokoh atau ditokoh-tokohkan oleh siapa pun mereka.
Januari 27, 2012
Khamis, Januari 26, 2012
KATA LALUAN
KALAU guna yang bahasa Inggeris, "password" kan lebih ringkas dan tepat. Tetapi pedulilah. Kerana ada yang di dalam bahasa emak bapa saya Melayu, sebab itu saya gunakan yang Melayu. Dan kau pun janganlah mengada-ada hendak komen aku buat silap bila cakap bahasa Melayu dan bukan bahasa Malaysia. Suka hati akulah.
Ini kisah pagi semalam. Beberapa kali cuba menziarahi seorang sahabat penyair. Mesej ralat yang dipaparkan menyebut: "blog ini telah dipindahkan".
Baru di sebelah malam sahabat ini mengaku betapa dia akses atau masuk ke blognya awal tadi pagi dengan katalaluan miliknya dan tanpa mengklik butang keluar atau logout, blognya itu ditinggalkan begitu sahaja.
Saya bukan pun pakar komputer atau belajar khusus mengenai teknologi maklumat. Tetapi pengalaman mengajar saya betapa perbuatan sahabat penyair ini memang sengaja menempah nahas. Apa lagi sebelum ini, sebuah blog lain milik sahabat ini, yang ditinggalkannya tanpa ditutup akaunnya, juga pernah diceroboh dan dimuat turun dengan pelbagai artikel yang mengarut serta memalukan oleh entahkan siapa.
Ini sebenarnya prinsip yang sangat asas. Masuk dengan kata laluan dan perlu pastikan setelah selesai kemudiannya untuk keluar dan menutup kata laluan secara rasmi.
Memang kita sebagai manusia biasa mudah tertipu. Kisah akaun email yang diceroboh, akaun bank yang tiba-tiba susut atau hadiah yang dijanjikan tidak kunjung tiba setelah sejumlah wang tunai dimasukkan ke akaun bank atas nama tertentu.
Saya sendiri seringkali menerima email yang sama dengan nama email saya, yang menawarkan jualan dengan harga istimewa pil Viagra atau Cialis dan sesekali alat untuk memperbesarkan alat kemaluan lelaki. Atau dengan nama email yang sama juga, seringkali saya menerima maklumat iklan produk-produk kesihatan lain berkaitan dengan seks dan tenaga kelakian.
Dan tidak mustahil, satu hari nanti bakal ada teman atau sahabat saya yang menerima email supaya mereka menghulurkan sejumlah derma ke dalam akaun bank atas nama tertentu, kononnya sebagai bantuan terhadap diri saya yang kononnya sedang ditahan di sebuah negara antah berantah atau sedang menghadapi kesulitan kewangan yang amat mendesak.
Bagaimana "mereka" ini boleh menceroboh?
Seingat saya, kurang lebih lapan atau enam tahun yang lalu saya pernah menerima email yang berselindung atas nama "verify email yahoo" yang mengatakan andai saya tidak mengirimkan maklumat kata laluan, email saya tidak akan dapat diakses.
Dan di situlah tololnya saya waktu itu. Percayakan itu, saya memberikan maklumat yang dipinta "mereka". Tetapi bila menyedari itu adalah perangkap beberapa bulan kemudiannya, saya menukar kata laluan email saya kepada kata laluan baru. Setidaknya, walau "mereka" boleh menyamar dengan nama email "marslino" saya, tetapi mereka tidak boleh menceroboh email peribadi milik saya sewenangnya.
Saya sedar juga, perbuatan menggunakan hanya satu kata laluan untuk semua akaun: email, blog, FB, twitter, tagged, YM dan segala macam akaun di internet atau siber, memang mengundang bahaya. Hujah saya, bila satu akaun dibuka dengan kata laluan yang sama itu, pada waktu sama akaun lain boleh diakses oleh orang lain yang langsung tiada kena mengena, yang mungkin berniat tidak baik.
Melalui email juga saya sering menerima email yang mengaku dirinya hartawan, atau pemerintah sebuah negeri di Afrika yang telah digulingkan dan memiliki berbilion khazanah di dalam bank, atau juga email daripada mereka yang berwajah Melayu tetapi kini menetap di luar negara yang mengajak menjadi rakan kongsi perniagaan, atau daripada "mereka" yang mengaku mewakili bank tertentu yang meminta nombor akaun dan pin laluan daripada saya dengan tujuan untuk kemaskini dan pengaktifan akaun.
Saya tahu itu semua hanyalah bohong dan bertujuan hendak menipu. Malah dalam satu email yang mengajak menjadi rakan kongsi, foto wajah gadis Melayu yang digunakan sebagai penyamaran "mereka" adalah foto isteri adik ipar saya di zaman remaja.
Memang pelbagai cara penipuan dilakukan "mereka" dan siapa sahaja yang kurang waspada, pasti akan terkena. Tidak sahaja melalui internet atau siber, melalui khidmat pesanan ringkas (kpr) di telefon bimbit juga, penipuan juga berleluasa. Pesanan untuk mengirim video hangat atau menyambut pelbagai tawaran seolah-olah suatu iklan dan promosi bukan perkara langka lagi. Tetapi, sebaik sahaja diklik "ya" atau "y" bermulalah adegan sebenar yang sangat menyakit hati, setiap lima minit "kpr" dari penyedia perkhidmatan berkenaan akan muncul di kotak mesej telefon menyatakan ada kiriman dan baki kredit dipotong dengan sekian jumlah atau dimasukkan ke dalam penyata bil di hujung bulan nantinya.
Tentu sahaja dengan segala kecanggihan teknologi, cara penipuan pastinya akan lebih canggih, advance, dalam pelbagai bentuk rupa serta media. Penipu sentiasa ada di mana-mana.
Tetapi ini tidak bererti dunia kini hanya dipenuhi para penipu dan manusia yang baik hati serta budinya sudah pupus dari muka bumi. Saya tidak maksudkan begitu.
Saya hanya bercerita secuil pengalaman yang sudah saya sendiri lalui secara saya selaku seorang peribadi. Dengan harapan, ada yang dapat dikongsi dan sedikit memberi manfaat kepada pembaca lain.
Cukuplah. Itu sudah memadai. Kerana saya tidak ingin meminta banyak dari kehidupan yang terlalu pemurah ini. Terima kasih, Tuhan.
Januari 25, 2012
Selasa, Januari 24, 2012
Ahad, Januari 22, 2012
KASIHAN
Marahku beralih
menjadi kasihan
mengenang matimu nanti
dengan wajah anjing
walau zahir jasadmu
masih jasad manusia
Januari 22, 2012
Sabtu, Januari 21, 2012
CATATAN KECIL
KEBAHAGIAN
BUKAN apa yang kaudapat. Tetapi berapa yang disyukuri.
KEJUJURAN
KETIKA mendapat segala kehendak. Tidak mengapa kalau perlu memijak.
BERANI
MENGIYAKAN segala kata-kata pemimpin itulah keberanian sejati.
DUSTA
MENGATAKAN yang benar adalah dusta yang paling benar.
PEMIMPIN
"Mengatakan yang dusta adalah benar yang sentiasa ingin didengar oleh rakyat."
Januari 21, 2012
Jumaat, Januari 20, 2012
Rabu, Januari 18, 2012
Ahad, Januari 15, 2012
BERLAKU
PERISTIWA adalah segala benda dan perkara yang sudah berlaku serta menjadi kejadian. Kebodohan dan kecerdikan adalah pilihan, sama ada secara sedar mahupun tidak. Begitu juga keangkuhan dan keegoaan. Hasrat untuk menipu rakyat diselindungkan dengan laungan atas nama pembelaan, maruah dan nasib masa depan. Tetapi maruah apa, masa depan siapa?
Atau mereka yang menulis karya mendakwa menulisnya atas nama ilmu dan berlagak gaya sebagai intelektual. Bukankah tahu kucing pun ilmu juga dengan kepintaran serta kelicikan hujah. Apa lagi bila punya sejumlah pendokong yang taksub.
Siapa yang berkuasa untuk memutar jarum takdir dan merubahkan kejadian? Kita penerima tetapi diberikan akal untuk berfikir: menerima atau menolak. Di sebaliknya adalah makna-makna yang tersembunyi dan akan hanya dimengerti dengan otak yang berfikir.
Seperti pagi ini, semakin jelas kebodohan sendiri. Ketika mata yang dianugerahi Tuhan diguna hanya untuk melihat keindahan di permukaan. Atau bersama ikut di dalam gerombolan ya yang dengan sengaja menjadikan matanya buta.
Tetapi menangis dan membebel sendiri juga tidak memberikan apa-apa. Si pelahap dan para penyunglap datang dan tampil dengan gaya serta caranya sendiri dan kemudian, pulang dengan perolehan masing-masing.
Kau mempercayai Tuhan kerana ingin selalu menjadi dirimu sendiri. Tetapi para penyunglap itu juga mengaku mereka juga memiliki tuhan dan mempercayainya sepenuh hati. Jadi siapakah di antara kau dan mereka yang lebih bertuhan?
Peristiwa yang berlaku akhirnya disebut menjadi kejadian demi kejadian. Apa yang berlaku, yang penting kau memilih menjadi apa?
Siapa peduli pilihanmu adalah hidup bergalang dosa sepanjang hayat. Siapa peduli. Kau yang memilih dan bukan orang lain.
Bercintalah terus andai itu menjadikan kau berasa selalu muda dan bahagia. Tetapi kalau kecundang kerana kebodohan sendiri, jangan salahkan sesiapa.
Cuma, bertaubatlah sebelum terlambat tatkala asyikmu melayan segala yang bejat atau menjadi budak syahwat.
Jangan risau. Aku cuma berkata-kata kepada diriku sendiri.
Januari 15, 2012
Sabtu, Januari 14, 2012
MAMPUSLAH
BAYARAN RM 30.00 untuk sebuah karya di zaman canggih di abad 21 ini bunyinya macam tidak masuk akal. Tetapi jangan lupa, kadar bayaran sebegitu masih berlaku. Bukan hanya untuk sebuah karya, malah untuk sebuah sajak pun masih berlaku.
Walau pun begitu, kesudian pemilik akhbar atau majalah berkenaan untuk tetap membayar karya penulis yang disiarkan mereka, walau pun kadarnya mungkin rendah atau macam tidak masuk akal, masih dapat dikatakan perbuatan yang bertanggungjawab dan tidak terlalu menghina penulis.
Saya katakan begitu berdasarkan pengalaman. Di samping banyak syarikat atau pemilik akhbar yang sungguh bertanggung jawab terhadap penulis di segi bayaran terhadap karya penulis yang mereka telah pilih untuk siarkan, terdapat juga sejumlah pemilik akhbar dan majalah yang memang tidak bertanggungjawab dan punya rasa kasihan belas terhadap penulis.
Saya katakan begitu berdasarkan apa yang dialami sesudah puluhan tahun menulis. Pengalaman diperhina dan dipermainkan penerbit yang menyiarkan karya saya yang tidak mahu membayar walau pun sedikit saguhati atau honorarium sudah lali saya alami.
Pelbagai cara permainan dan sandiwara mereka. Yang memang sejak mula sudah diduga memang tidak berniat untuk membayar bila akhbar atau majalah mereka tidak mahu membayar karya penulis yang mereka siarkan.
Bila dihantar surat menuntut sedikit bayaran saguhati secara baik dan sopan, tiada mereka berikan jawapan. Setelah di telefon dan di tolak panggilan ke sana dan ke mari, akhirnya dikatakan surat tuntutan bersama salinan karya tidak mereka terima. Bila dirayu-rayu barulah berjanji hendak membayar dan meminta nombor akaun bank untuk dimasukkan bayaran.
Tetapi berminggu-minggu ditunggu, bayaran tidak juga dimasukkan. Bila dihubungi lagi lewat telefon, baru mengaku syarikat mereka ada masalah kewangan. Bila ditelefon lagi pada minggu-minggu berikutnya, nada yang menjawab semakin meninggi dan membentak-bentak.
Ini antara pengalaman yang saya alami. Pengalaman menulis pelbagai artikel budaya ke sebuah tabloid memang berakhir secara begitu. Tetapi dalam keadaan syarikat menghadapi masalah kewangan, orang yang bercakap dengan saya itu khabar yang disampaikan oleh seorang petugas di dalam syarikat itu yang kebetulan adalah kawan saya, gajinya bermula dengan angka 4.
Pengalaman seperti itu bagi saya memanglah tidak pernah membuat saya untuk merajuk dan tidak mahu lagi menulis dan menghantar karya. Cuma jauh di sudut hati, saya fikirkan apa kesannya kepada teman-teman muda yang baru ingin menapak sebagai penulis. Saya harap mereka juga tidak akan mudah kecewa dan merajuk tidak mahu menulis andai terkena juga.
Bagi seorang yang memilih menjadi penulis, menulis adalah tetap menulis. Saya percaya itu. Lainlah kalau dia sudah menjadi kaya dan bergelar Datuk atau Tan Sri.
Itulah asam garam dunia penulis. Diperhina dan dipermainkan memang bukan perkara langka. Jadi bersedialah untuk tidak mudah kecewa dan patah semangat. Menulis tetap menulis.
Dalam keadaan sedemikianlah, saya juga selalu bertemu dengan alasan-alasan bodoh di kalangan mereka yang rasa saya memang niatnya tidak mahu membayar penulis yang karyanya telah mereka siarkan.
Paling bodoh adalah alasan ini: syarikat kita menyiarkan karya penulis kerana hendak beri peluang kepada mereka sebagai penulis baru.
Peluang kepala hotak kau. Kalau tidak mahu bayar cakap sahaja terus terang. Tunggulah, sampai masa mampuslah syarikat kau itu. Tidak percaya tunggu dan lihatlah.
Dan selalunya memang begitulah. Tidak berapa lama, syarikat sebegitu akan mampuslah. Walau kononnnya telah dibeli oleh syarikat besar.
Tidak percaya? Tunggu dan lihat.
Januari 14, 2012
Kategori:
Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan
Jumaat, Januari 13, 2012
BERPISAH DAN BERTEMU
SETIAP kali bertemu dan hati tergetar, selalu saya peringatkan diri agar tidak mudah percaya dan menerima. Sungguh saya tidak mahu percaya serta terlalu mudah menerima. Sebabnya mudah dan jelas, saya takut itu hanyalah fatamorgana, yang sementara dan sia-sia. Lalu seperti selalu, saya juga kemudiannya yang sendiri akan menjadi kecewa.
Tetapi itu hanya kehendak dan niat. Bila tiba waktu dan saatnya datang, saya mudah pula menjadi lupa diri apa yang sudah selama ini cuba saya jauhi. Saya menjadi terlalu lemah dengan kebaikan dan lemah lembut. Apa lagi jika bersama kebaikan itu diucapkan juga ruang serta harapan.
Ternyata sekarang saya kecewa lagi. Dan saya perlu berjalan lagi mencari sesuatu yang pasti dan abadi. Saya tidak ingin salahkan sesiapa. Kerana luka apa pun, akhirnya bukan untuk hanya diratap serta ditangiskan. Saya belajar untuk lebih bersimpati dan menjadi lelaki yang lebih mengerti. Walau kerananya saya sentiasa akan diuji.
Kepada yang pernah sekejap hadir ke dalam hidup saya, jangan risaukan apa-apa. Lelaki yang berani dan sejati tidak perlu diberitahu bila waktunya mesti pergi. Kerana, dia tahu memilih sendiri waktunya. Sama ada untuk terus menjadi penanti atau memilih jalan lain yang lebih menyendiri.
Januari 13, 2012.
Khamis, Januari 12, 2012
HANYA BAYANG
KATAKAN apa punkah. Harta. Pangkat. Nama besar. Kasih. Sayang. Cinta. Semunya hanyalah bayang. Yang zahir kerana disuluh cahaya dan akan menghilang tanpa kewujudannya. Jadi untuk apa saya bersedih kalau tidak memiliki atau tiba-tiba ditakdirkan kehilangannya. Apalah daya saya untuk menghalang. Kerana itu, saya selalu pasrah dan malah tidak ingin terlalu berharap.
Januari 12, Januari 2012.
Rabu, Januari 11, 2012
KASUT DAN SELIPAR
KASIHAN. Pahala bersolat dan berjemaah di masjid menjadi cacat hanya kerana sepasang selipar atau kasut yang harganya di bawah lima atau seratus ringgit. Atau oknum begini memang dengan sengaja datang berjemaah ke masjid dengan niat pulang nanti menyarungkan selipar atau kasut yang lebih baru, yang memang dia tahu itu adalah milik orang lain, yang dia sauk tanpa sebarang rasa malu dan bersalah.
Saya tidak begitu hairan dan terkejut kalau kejadian ini berlaku di bandar. Tetapi peristiwa singgah bersolat Maghrib di sebuah masjid jamek di sebuah perkampungan nelayan semalam, benar-benar buat saya lama berfikir.
Apakah kerana munculnya sepasang selipar yang kelihatan masih terlalu baru maka mata si penyauk yang memang demikian niatnya mudah terpancing seusai Maghrib semalam? Saya tidak tahu dan tidak ingin ambil tahu soal itu. Dan harganya, memang pun tidak sampai lima ringgit.
Tetapi yang buat saya agak lama berfikir adalah mengenai sikap sosial dan beragama di dalam komuniti di perkampungan nelayan ini.
Apakah ceramah ugama yang berkumandang saban malam dari corong pembesar suara di masjid yang dapat di dengar jelas oleh penduduk sekitarnya masih belum memadai menjadikan penduduknya lebih insaf dan menyedari soal dosa dan pahala, walau yang dicuri hanya sekadar sepasang selipar?
Kalau demikian untuk apa saban malam ceramah agama dikemundangkan kalau hati dan jiwa pendengarnya masih belum dapat didik serta ditundukkan agar menjadi lebih manusiawi? Tidakkah itu membazir namanya?
Saya tahu banyak yang tidak bersetuju dengan saya kerana menghubungkaitkan soal kecurian sepasang selipar dengan kegagalan ceramah agama atau usaha-usaha untuk lebih memberikan kesedaran agama di kalangan jelata.
Tetapi buat saya peribadi, untuk apa saban malam melontarkan ceramah kalau di luar masjid, kebejatan, konflik sesama sendiri, perebutan dalam parti atau JKKK tetap berleluasa juga?
Tiada yang salah dengan ceramah. Tetapi bila sikap berasa diri lebih mulia kerana selalu berada di masjid dan membuang peduli urusan dunia di luar masjid sebagai urusan yang perlu diselesaikan oleh orang lain, saya kira inilah yang silapnya.
Saya tidak peduli pun selipar yang hilang itu menyebabkan saya sekejap berkaki ayam menuju ke kenderaan. Yang saya fikirkan, bagaimana kalau yang terkena itu adalah musafir yang kebetulan singgah bersolat sebelum meneruskan perjalanannya yang masih panjang?
Apakah tidak mereka berfikir: di masjid yang indah dan baru di sebuah perkampungan nelayan begini pun, selipar yang tidak sampai lima ringgit pun sanggup dicuri?
Saya meredakan segala kejadian. Tetapi di dalam fikiran, tetap juga itu yang saya fikirkan: sudah seberkesan manakah usaha kita mendidik ahli masyarakat kita lebih mencintai agama dan menghayati segala ajarannya?
Atau kita sebenarnya sekadar berpura bersungguh-sungguh tetapi pada hakikatnya, sekadar melepaskan batuk di tangga?
Januari 11, 2012
Ahad, Januari 08, 2012
DI MALAM TAHUN BARU
Sajak MARSLI N.O
Aku hanya ingin menjadi diriku
menyambutmu sekadar perlu
dengan sajak-sajakku
Kerana kau tentu lebih tahu
apa niat di dalam hatiku
kenapa tidak berteriak
dan sama menyalak
Maafkan aku
kerana tidak ingin meminjam wajah anjing
atau sama menjadi anjing.
Telok Cempedak, Kuantan
Januari 1, 2012
Khamis, Januari 05, 2012
TAHUN BARU LAGI
TAHUN baru muncul lagi. Usia bertambah. Tetapi amal baik dan menunaikan segala perintahNya bagaimana? Bertambah menjadi manusiakah diri atau tetap bersekongkol dengan para syaitan?
Perubahan dan keinsafan tidak datang bersama tahun yang baru berganti atau bertambah. Tetapi rasa insaf diri dan usaha untuk sentiasa lebih menjadi manusia yang sejati adalah perjuangan dari dalam jiwa sendiri.
Saya berkali-kali dan cuba untuk sentiasa menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Tanpa ingin memperbandingkan diri dengan sesiapa pun. Ini adalah perjuangan saya peribadi.
Saya menyebutnya dan akan terus menyebutnya. Untuk memperingatkan diri yang selalu bersikap leka.
Ya, diri saya sendiri dan baik juga rasanya untuk tidak berterusan membabitkan atau melempar segala kesilapan saya sendiri atas nama syaitan.
Kerana, mungkin yang menjadi syaitan itu sebenarnya adalah diri saya sendiri.
Allah yang Maha Mengetahui.
Januari 5, 2012
Selasa, Januari 03, 2012
Rabu, Disember 28, 2011
MEMBACA
RIUHNYA bercerita mengenai jumlah buku yang dibaca, tidak sepadan dengan laku serta perbuatannya. Atau dia hanya membaca tetapi tidak benar-benar mencerna apa yang dibaca. Atau menyohorkan bahan dan jumlah itu bagi dia lebih penting ketimbang menjadi lebih manusia, lebih berfikir dan lebih bijaksana dalam setiap tindak serta tutur kata.
Ahad, Disember 25, 2011
PUJIAN
BERBANGGALAH kau dengan jutaan pujian dan usapan demi usapan. Ketika bahasamu, maruahmu, agamamu, menjadi bahan sendaan. Berbanggalah dengan kesopanan milikmu. Jagalah kesopananmu. Jangan sekali-kali memaki dan menghamun. Peliharalah nama dan imej yang baik. Jagalah. Peliharalah.
Disember 25, 2011
Sabtu, Disember 24, 2011
MEMAKI
PAGI ini aku memaki hamun lagi kepada para pukimak itu. Kalau kalian memang dengan sengaja buat tidak faham itu kalian punya hal. Tetapi bila kalian mengusik perkara yang sudah diputuskan oleh suara terbanyak dan lagak kalian melebihi segala yang asal, maka inilah kata-kataku: KALIAN MEMANG PUKIMAK
Disember 24, 2011
Jumaat, Disember 23, 2011
Jumaat, Disember 16, 2011
AIR LIUR
CUMA air liur. Hujah dan dalih tentulah hebat dan melambung. Intelektual. Maruah. Bangsa. Dan apa-apa lagi. Sepuluh jong masuk, air liur juga sudahnya.
Disember 16, 2011
Selasa, Disember 13, 2011
Ahad, Disember 11, 2011
SERONOKNYA
MESTILAH. Siapa tidak tergiur. Jutaan, beb. Banyak tu! Mestilah hendak dan timbul rasa tamak. Tetapi selalunya penulis asal juga yang bodoh dan diperbodohkan. Sebabnya mudah sahaja. Masa mula buku hendak terbit tenyeh sain kontrak tanpa faham dan baca betul-betul. Janji buku terbit. Walau memang sudah jelas diperlembukan tidak apa. Terima sahaja. Sekarang? Buat apa bising. Dulu bukan main seronok dan tenggelam dalam glemer. Konon.
Ha. Ha. Ha. Memang gah dan seronok menjadi penulis yang popular dan glemer. Kan. Kan?
Jumaat, Disember 09, 2011
Khamis, Disember 01, 2011
MAHARAJA LAWAK (4)
Di sinilah pentas dan ruang “si palsu mencari makan” (1). Mengendarai akal muslihatnya dengan raga hanuman. Meratah atau meredah segala yang menghadang. Tanpa malu dan silu mengangakan mulutnya yang berbau di depan mikrofon. Berkoar demi meraih sokongan atas nama mempertahankan segala pertuanan. Ketika lidahnya yang berkarat dan terbelah menyokong hujahnya yang bejat untuk setiap kata yang sudah dipintal dan maknanya dipusing terbalikkan.
Dan penonton diajak melambung sebiji bola kristal yang dipenuhi mimpi dan angan. Di pentas dan ruang yang menyaksikan kejadian, dengan rasa mual yang tidak terucapkan
Disember 1, 2011
Nota kaki:
(1) Ucapan Ridzuan Harun di status Fbnya bertarikh 1 Disember 2011.
Rabu, November 30, 2011
MAHARAJA LAWAK (3)
Inilah pentas baru dan lain kau buyarkan segala kantongan dari ususmu yang serakah dan akalmu yang terbelah. Dengan kata penuh lihai dan makna yang disunglap agar menjadi simsalabim, berkoar kau atas nama maruah dan bangsa. Benarkah kau mendahulukan mereka dan bukan kerusi milikmu? Aku selalu bertanya kepada angin yang sinis dan mengejek. Ketika kembali memadankan segala maksud dengan kebenaran yang dipermainkan oleh sewenang. Atau semakin aku diperbodohkan dengan lawak yang lama tetapi diperbaharui hias dan kostiumnya. Di depan lampu yang lebih berkemilau dan bintang yang berkerdipan di hari siang?
November 30, 2011
November 30, 2011
Selasa, November 22, 2011
MAHARAJA LAWAK (2)
Dia adalah monyet yang terlalu berlebihkan gembira kerana mendapat barang mainan dan kostium baru. Pentas adalah dunia keduanya yang lebih dicintai melebihi segala yang pernah dia cintai sepanjang hidupnya. Kata dia ucap tanpa dibasuh dengan akal dan fikir. Kawan dan lawan adalah bahan dunia lawaknya yang tidak pernah susut. Malah berlebihan dibuka celana dan kuncinya jika muncul kisah lain yang boleh mendatangkan lawak yang penuh dengan cerca. Dia memang memilih menjadi pelawak dan merelakan akal cerdiknya bertukar menjadi segumpal kertas yang ringan dan kumal. Atau perasaan manusianya disunglap menjadi kehendak yang memberhalakan rasa serakah.
Atas nama lawak, segala dia halalkan. Demi gelar dan tawa khalayak yang selalu mencandui hiburan yang nipis dan kosong. Dan bangsanya yang terpaksa menjadi pendengar, merintih perlahan-lahan di dalam kebodohan yang dipaksa mereka menerima.
November 22, 2011.
Isnin, November 21, 2011
MAHARAJA LAWAK (1)
OTAKNYA yang kosong melemparkan kata-kata yang dijalin menjadi cerita. Logiknya adalah tepok tangan pendengar atau penonton yang selalu dicandui oleh ketawa. Dengan bohongnya dia memperalatkan peristiwa menjadi hiburan yang benar-benar ceria. Hatinya yang kelabu dan akalnya yang keliru dibasuh dengan air popular. Sebelum dirinya dilenyapkan menjadi badut atau monyet di pentas.
November 21, 2011
Selasa, November 15, 2011
MENIKMATI BAHAGIA
SEKALI waktu dan ketika ini malah saya terfikir. Andai kata saya tidak memilih menjadi seorang sasterawan dan seniman, yang selalu mengambil peduli segala permasalahan masyarakat, bangsa, budaya dan bahasanya dengan cara serta kodrat kemampuannya sendiri, pastilah hidup saya tidak akan selalu rusuh dan segelisah ini.
Apa lagi belakangan ini. Tidur saya selalu terganggu dan jadi kurang lena. Malah perasaan kesal, sebal dan marah saya juga kian membuak.
Saya bayangkan, alangkah indahnya hidup mereka yang hanya memilih kehidupan yang sayur: bangun, makan, bekerja, berkelamin dan tidur. Tanpa banyak berfikir atau mengambil tahu segala sesuatu yang seolah bukan menjadi keperluan hidupnya untuk difikir-fikirkan sehingga menyendat akal serta fikiran.
Lebih indah lagi andai menjalani hidup sebagai pengampu dan penjilat. Tiada suatu pun yang perlu mereka fikirkan selain mengangguk dan membenarkan segala kata serta suruhan atasan, ketua atau siapa sahaja yang dikirakannya wajar dijadikan patukan untuk diampu serta dijilati pantatnya.
Agaknya, kerana itu jugalah pada suatu hari saya telah ditegor oleh seorang pembaca blog saya.
Katanya, saya kini kembali marah-marah di blog saya. Walhal sepatutnya, begitu kata pembaca itu lagi, saya sudah tidak punya sebarang sebab untuk terus marah kerana apa yang saya kehendaki sudah pun tercapai, misalnya novel saya tahun ini sudah diterbitkan, karya saya masih tetap disaiarkan di mana-mana. Jadi, apa lagi yang saya mahukan? Begitu kurang lebih pembaca ini mengakhiri tanyanya.
Saya tidak menyalah pembaca yang bertanya ini. Dia punya hak untuk bertanya apa sahaja selagi tidak sampai ke tahap menghina atau menuduh-nuduh saya.
Baru saya tahu kini. Bila seorang seniman atau sasterawan berkata sesuatu dengan nada yang lebih vokal dan tegas, khususnya mengenai masyarakat, bangsa, budaya dan bahasanya, orang pantas menghubungkaitkan itu dengan rasa tidak puas dia kerana tidak mendapat sesuatu. Seolah-olah, setiap kali sasterawan dan seniman berkata sesuatu dengan nada tidak puas hati, sesal atau marah, itu tidak lain hanyalah manifestasi kemarahan kerana tidak mendapatkan sesuatu yang diingininya.
Jika benar demikian, hina sungguh jadinya tanggapan masyarakat terhadap sasterawan atau seniman kita. Kerana itu jugalah, baru saya mengerti kini kenapa SN Dato’ A Samad Said, yang dengan berani dan ikhlasnya bercakap ke mana-mana mengenai bahasa dan menyatakan hasrat untuk melihat pemilu dinegara ini berlangsung dalam suasana yang lebih bersih, akhirnya menjadi manusia yang tidak sunyi dicebir dan jeling dengan pelbagai tohmahan yang juling.
Nampaknya begitulah hukuman dan kehendak masyarakat di sebuah negara yang semakin cuba memperbodohkan rakyatnya dengan pelbagai sandiwara.
Agar tetap terus terpandang sebagai manusia baik dan sopan, anda jangan sama sekali menyatakan kehendak dan fikiran anda secara tebuka di hadapan khlayak. Sebaliknya, jadilah pengangguk dan penjilat, walau pada waktu sama banyak penyelewengan dan pembodohan cuba dipasakkan ke benak rakyat.
Dan agar dapat sentiasa hidup bahagia, jalanilah kehidupan sayur. Tanpa perlu berfikir apa-apa selain kepentingan diri sendiri semata-mata dan memperhambakan diri terhadap siapa sahaja yang bergelar pemimpin tanpa sebarang soal serta membenarkan walau apa sekalipun kesalahan yang telah diperbuatn, apa lagi jika atas nama bangsa dan maruah rakyat.
Tetapi sayang. Saya tetap memilih jalan untuk tidak berbahagia secara demikian. Walau apa pun, saya tidak peduli. Walau kerananya, saya akan hanya hidup sendirian di dunia yang riuh ini!
November 15, 2011
Kategori:
Proses Kreatif Marsli N.O 2010
Sabtu, November 12, 2011
KEPADA ANGIN (1)
Walau jawaban hanyalah sepoi dan desir
aku akan tetap menyapamu, duhai angin
kerana rindu yang selalu kuredamkan
meminta kata untuk kulafazkan
dengan rawan yang terlalu diam.
November 12, 2011
aku akan tetap menyapamu, duhai angin
kerana rindu yang selalu kuredamkan
meminta kata untuk kulafazkan
dengan rawan yang terlalu diam.
November 12, 2011
Khamis, November 10, 2011
PEKANBARU (1)
DI NEGERIMU, kulihat kembali negeriku
seperti melihat cermin lain
untuk mengerti makna yang lebih lain
ketika di negeriku
para babi dinobat menjadi pemuka
bercakap mengenai bahasa dengan auta
dan sandiwara.
Kamar 737, Hotel Labersa, Pekanbaru
Oktober 25, 2011
Rabu, November 09, 2011
SUNGAI DUKU (1) & (2)
1
KUPILIH bersunyi di buritan perahu
memaksa gelisahku ke dalam kenang
agar kembali menjadi masa lalu
dan tidak selalu mendera diriku
Di pecah ombak sungaimu yang bergetar
oleh laju jentera
terpercik cebisan air ke mukaku
tetapi basahnya tetap kubiarkan
mengalir perlahan ke dalam jiwaku
yang rawan.
2
DI SUNGAIMU yang keruh
kulihat bayang diriku
yang selalu sendiri dan termangu
mencari rindu dan kasihnya
agar tidak berlalu sia-sia
dipermainkan oleh makna.
Sungai Duku, Siak
26 Oktober 2011.
Isnin, November 07, 2011
YANG LAIN (Kepada Ali Mamiya)
TIADA untuk dilafazkan kepada angin
tetapi kau ingin mengisi gemawanku
di depan kelam itu
aku adalah bintang
walau sekejap bertakhta di hatimu
ya, seperti juga kau
tangisku tidak terhitung
sehingga malam itu
kerana hidup dan cinta
adalah yang lain
dari seluruh atau sebahagian.
Lapangan Balai Seni Idrus Tintin, Pekan Baru, Riau
Oktober 27, 2011Ahad, November 06, 2011
CELAKANYA BILA BERNAMA MELAYU
KAU dipilih untuk selalu dipermain dan ditipu oleh mereka yang kau pilih dengan undimu. Bahasamu menjadi alat untuk permainan politik para politikus yang lupa diri dan lupa asal usulnya. Marwah yang dilaungkan hanyalah kata pemanis mulut dan diucapkan pemimpin dengan lidah terbelah.
Celakanya bernama Melayu. Kau adalah bangsa untuk ditipu dan dipermainkan oleh bangsamu sendiri. Segalanya menjadi celaka kerana kononnya segalanya boleh dikongsi.
Kepala mak bapak dia!
@#$%^&*()_+|!!
November 6, 2011
Rabu, November 02, 2011
EMPAT BUKU SAJAK RAHIMIDIN ZAHARI
MALAM 29 Oktober, 2011. Di warung makan Jalan Choo Chung Kay, Kuala Lumpur. Saya menerima empat buku sajak persendirian dan bersama karya Rahimidin Zahari. Buku-buku tersebut ialah Rawana: sajak-sajak terpilih (persendirian); Perahu Fansuri (persendirian); Abrar (bersama Abdulhadi Muhamad, Rosli K Matari, Azmi Yusoff); dan Puisi Orang Bertujuh (Bersama Amiruddin Ali, Camar Putih, Jasni Matlani, Mohamad Saleeh Rahamad, Mohd Rosli Bakir dan Shamsudin Othman).
Semenjak Sekepal Tanah, gaya berpuisi Rahimidin Zahari sudah semakin diperkukuh dan memperjelaskan identiti kepenyairannya. Sebarang usaha untuk meniru gayanya ini oleh mana-mana penyair pun, akan mudah dapat ditebak asal dan usulnya adalah daripada Rahimidin Zahari.
Selain Zaen Kasturi, Malaysia memang tidak punya ramai penyair yang begitu sungguh-sungguh dan secara sedar memperkukuhkan gaya kepenyairannya. Dan Rahimidin Zahari adalah salah seorang selepas Zaen Kasturi. Sementara Shamsudin Othman masih dalam proses memperkukuhkan bentuk dan Ridzuan Harun pula seperti mahu terus bersenang-senang dengan dunia remaja yang secara tidak sengaja disangkutkan ke bahu kepenyairannya.
Di tengah hingar-bingar dunia puisi tanah air yang kian dijejali para penyair dan seniman palsu ini, kita setidaknya dapat berasa bangga dan berbahagia memiliki penyair seperti Rahimidin Zahari, yang tetap dengan tekun, jujur dan tanpa pamrih, menampilkan satu demi satu puisinya, yang mengajak kita sekejap merenung dan berhening menghayati makna hidup dan keberadaan kita sebagai manusia di tengah para arogan politik (dan juga akademik serta sastera) yang selalu mahu berada di depan dan memaksakan kehendaknya.
Memang puisi tidak mendatangkan wang, seperti ditanyakan Shamsudin Othman ketika forum Korea-Asean Poets Literature Festival (KAPLF) II di Perpustakaan Soeman HS di Pekanbaru, Riau pada pagi 28 Oktober 2011 yang lalu, namun setidaknya, puisi Rahimidin Zahari menyedarkan kita betapa selain wang, ada sesuatu yang lain yang lebih kita dambakan daripada hidup ini.
Dan itu tidak lain adalah sebuah makna dan kehidupan yang lebih bererti. Walau tanpa wang!
November 2, 2011
Selasa, November 01, 2011
MEMANG BABILAH
MEMANG kau ingat aku boleh kau kelentong begitu sahaja macam lembukah? Memang senanglah kaucakap bila sebuah akhbar atau majalah ditangguh dulu penerbitannya maka semua urusan bayaran untuk penulis yang telah menyumbangkan karyanya juga akan ditangguhkan.
Tetapi dalam keadaan ditangguhkan begitu, bila cukup bulan dan waktunya kau tetaplah akan menerima bayaran gaji sedangkan penulis yang sudah menulis ke akhbar atau majalah hanya terkulat-kulat menggigit jari.
Memang babilah. Mengelak dengan apa cara dan helah untuk tidak membayar penulis yang sudah menulis samalah menghisap darah dan keringat mereka.
Memang pun apa yang mereka tulis bagi diri kau bukanlah apa-apa sangat dan boleh kau dakwa sengaja kau siarkan atas alasan kasihan atau hendak beri mereka peluang menulis.
Tetapi lupakah kau betapa kalau tidak kerana tulisan mereka yang kononnya bagi kau bukan apa-apa itulah maka ruang kosong di dalam akhbar atau majalah yang pihak kau terbitkan itu dapat ditimpali dengan huruf dan perkataan?
Memang babilah. Walau majalah dan akhbar sudah tutup atau ditangguhkan sekejap penerbitannya, tetapi kau tetap menerima gaji saban bulan.
Tetapi penulis yang sudah menulis dan menyiarkan karyanya di akhbar atau majalah kau, dapat apa?
Kalau kau memang tidak mahu bayar cakap sahajalah memang tidak mahu bayar. Tidak payahlah kau buat alasan macam-macam. Supaya senang tahu bahawa kau memang hendak menipu dan menghisap darah penulis yang kau anggap mungkin tiada apa-apa itu.
Atau kau fikir memang singkek dan papa kedana sangat penulis kerana asyik tanya pasal bayaran untuk apa yang sudah mereka tulis dan disiarkan di akhbar atau majalah kau. Mungkin kau ingat mereka pengemis dan bagi kau apa yang ditanya dan dituntut itu bukannya banyak dan besar sangat sampaikan hendak diheboh satu Malaya.
Kalau begitulah. Tidak payahlah kau hendak berlagak dan bercakap kononnya kaulah pejuang kemanusian yang sanggup melanglang buana menyampaikan derma dan sumbangan, sedang di negeri sendiri kau menghisap darah penulis.
Sebab itu aku kata: memang babilah!
Oktober 31, 2011
Langgan:
Catatan (Atom)
